The Hardest Singing Show: Kreativiti, keberanian dan kegilaan - Utusan Malaysia

The Hardest Singing Show: Kreativiti, keberanian dan kegilaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS 10 minggu, pertandingan The Hardest Singing Show (THSS) pada Ahad lalu memahkotakan juara pertamanya – Aepul Roza.

Penyanyi yang berasal dari Kuala Lumpur itu menempuh jalan sukar sebelum diangkat juara, kerana pesaingnya adalah mereka yang berstatus handalan dalam seni persembahan seperti Ayda Jebat, Stacy, Aisha Retno, Putra Muhammad dan Zizi Kirana.

Rezeki bagaimanapun berpihak kepada Aepul yang bukan setakat menang trofi, tetapi juga RM150,000.

Pada sudut pandang penonton, saya menyaksikan sang juara adalah semua yang terlibat dalam THSS , termasuk pihak Astro sendiri.

Dakwaan-dakwaan sebelum ini, yang kononnya stesen televisyen tempatan sudah ketandusan idea, sekali lagi disangkal.

Pertandingan ini adalah satu pembuktian, lahirnya sebuah lagi program hiburan yang konsepnya di luar kotak.

Daripada nama program pun kita sudah dapat menjangka, ini bukan pertandingan nyanyian biasa.

THSS menjadi pentas yang menguji kemampuan luar zon selesa peserta, menampakkan kegilaan dan keghairahan mereka dalam memaksimumkan kreativiti masing-masing.

Sebagai audiens, tidak senang duduk saya sepanjang lebih tiga jam menonton program secara langsung. Setiap aksi dan kreativiti yang saya tonton malam itu adalah bertaraf dunia.

Tidak terlintas dalam fikiran saya bahawa seorang Ayda Jebat mampu melakukan aksi ‘flying fox’ dan bermain percikan bunga api dalam dewan yang skalanya berganda-ganda lebih kecil berbanding Axiata Arena.

Tidak terjangkau dalam minda saya kebolehan seorang Stacy melayang di udara, mempamerkan aksi akrobatik selain bermain api di pentas yang tidaklah besar mana.

Tidak pula pernah saya terfikir kemampuan Aepul bermain dram dalam posisi melunjur ke bawah, selain Putra Muhammad melontarkan vokal hampir sempurna dalam keadaan posisi tubuh tergantung ke bawah.

Itu belum lagi aksi berani Aisha Retno meluncur turun dari aras tinggi, selain Zizi Kirana julung kali menunjukkan kebolehan memanahnya depan khalayak.

Minggu akhir adalah kemuncak selepas 10 minggu program itu berjalan. Sepanjangnya, lebih banyak aksi luar biasa disajikan.

Yang kita saksikan adalah persembahan bertaraf dunia. Di sebaliknya, hanya peserta, pasukan mereka dan kru belakang tabir yang tahu.

Banyak keringat yang dicurahkan, banyak masa yang dikorbankan, betapa mengujinya kesakitan yang ditahan peserta dan banyaknya wang ringgit yang dilaburkan demi persembahan yang bersifat di ‘luar kotak’.

THSS MUSIM KEDUA?
Pentas THSS juga adalah pentas yang menguji keberanian artis-artis yang bertanding. Kesanggupan mereka mengambil risiko dengan melakukan aksi ekstrem wajar diberi pujian.

Program ini sebenarnya membuka mata terhadap kesanggupan artis kita melakukan apa sahaja termasuk membahayakan diri mereka sendiri demi persembahan yang memuaskan hati penonton.

Seriau adalah perkataan yang paling tepat menggambarkan perasaan penonton sewaktu melihat Stacy menyanyikan lagu Erti Hidup sambil tergantung di udara tanpa tali keselamatan melingkari tubuhnya.

Bulu roma juga meremang saat menyaksikan Ayda Jebat dan Aisha Retno berdiri bebas di atas bahu penari saat membuat persembahan duet membawakan lagu Penasaran.

Begitulah juga halnya dengan peserta lain yang mencabar fizikal masing-masing dalam ketika mereka turut bergelut untuk memberi persembahan vokal terbaik.

Tahniah kepada semua pihak yang menjayakan rancangan ini. Penerbit, ketika sidang akhbar, berkongsi perancangan untuk THSS musim kedua.

Itu adalah keputusan tepat, kerana THSS sudah pun mengumpulkan pengikut yang ramai.

Mungkin beberapa penambahbaikan yang boleh dipertimbangkan pihak Astro, termasuk lokasi penganjuran yang mungkin membabitkan dewan yang lebih besar bagi persembahan-persembahan mega seperti yang dipersembahkan di musim pertama.

Senarai pemilihan peserta juga mungkin boleh diperluaskan, menggabungkan penyanyi baharu dan lama yang sedia kemampuan vokal dan fizikal serta kreativiti mereka diuji.

Biarpun mungkin ada yang melihat THSS sebagai acara ‘selingan’, namun program ini berpotensi untuk menjadi lebih besar jika diproduksikan dengan lebih baik.

Pihak produksi boleh mengambil input dan cadangan daripada penonton dalam merencana program ini ke arah berskala besar.

SITI NURHALIZA

Antara highlight yang dibualkan penonton minggu akhir THSS adalah kemunculan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin membarisi kerusi juri disamping Edry Abdul Halim dan pelawak terkenal Zizan Razan, selain Adlin Aman Ramli selaku juri jemputan.

Siti, mengisi kekosongan Datuk Seri Rosa, yang pada minggu akhir tidak hadir mengisi kerusi juri tetap.

Siti pada malam itu, sempat menghadiahkan persembahan memukau, menyanyikan lagu Kau Kekasihku yang dipersembahkan dalam rendisi berbeza.

Tidak perlu dihujahkan mengapa Siti yang dipilih mengisi tempat Rossa, kerana penyanyi tersebut adalah lebih daripada layak.

Sepanjang hampir tiga dekad bergelar anak seni, Siti menjadi master mind dan antara yang kedepan dalam merencanakan konsep persembahan di luar kotak.

Mungkin peminat boleh mengimbau semula aksi berani mati penyanyi nombor satu ini yang pada konsert Mega Siti Nurhaliza, melayang terbang menuju ke pentas utama yang dibina di tengah Axiata Arena yang dahulunya dikenali sebagai Stadium Putra.

Dalam konsert yang sama, Siti juga memukau menerusi persembahan akrobatik ringan, membuktikan kemampuannya dalam menguji fizikal sambil menyanyi.

Jadi apabila Siti yang mesra disapa TokTi menduduki kerusi juri minggu akhir THSS, peminat menarik nafas lega kerana beliau sememangnya pilihan yang tepat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya