PUTRAJAYA: Kerajaan menegaskan untuk tetap mempertahankan kuota bumiputera dalam jaminan tempat melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi, tetapi pada masa sama mengiktiraf pelajar-pelajar yang cemerlang berdasarkan prinsip meritokrasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prinsip itu adalah adil dan munasabah selagi mereka yang cemerlang itu adalah rakyat di negara ini tanpa mengira kaum mesti dipelihara.
Menurut beliau, negara sejak merdeka sekian lama telah cuba dalam persaingan pendidikan dalam konteks Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menuju tahap lebih cemerlang dan kian ramai mendapat 10A ke atas dalam kalangan Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak.
“Tiap kali kerana kita ada kuota bumiputera, kadang-kadang dijadikan isu keterlaluan, di satu pihak nak menafikan hak minoriti, satu pihak lagi nak pertikai prinsip Perlembagaan dan jaminan kepada bumiputera terutama secara nisbi dalam kedudukan lebih rendah kerana kemudahan di desa dan miskin bandar.
“Maka kita ambil jalan agak adil dan munasabah. Kalau dia itu rakyat di negara kita, maka harus pelihara. Kita juga menerima kenyataan tentang meritokrasi. Siapa dapat 10A tanpa mengira kaum dan wilayah, kita berikan jaminan tempat di matrikulasi atau bagi bumiputera, ada asasi,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan Perdana Menteri Bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.
Anwar berkata, hampir setiap tahun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terpaksa menghadapi isu sebegini kerana pembenturan itu menghangatkan suhu politik menyebabkan ketegangan kaum dan sosial.
Katanya, dasar kuota bumiputera harus dikekalkan kerana ini keputusan sudah lama dan dikaitkan dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 153, dan jaminan masa depan Melayu supaya jangan berlaku kesenjangan.
Bagaimanapun, jelas beliau, prinsip meritokrasi yang turut diamalkan mesti mengikut konsep keadilan dan kesaksamaan.
“Saudara minta Sekolah di Manik Urai bersaing dengan Kolej Melayu atau Sekolah Chung Leong (contoh) yang lengkap dengan segala prasarana di bandar, siap dengan kemudahan sekolah terbaik tetapi minta bersaing sekolah menengah di Kapit, itu bukan keadilan.
“Kena ingat, sementara kita setuju prinsip meritokrasi, kita harus pertahan prinsip keadilan dan kesaksamaan. Kalau tekankan soal merit Sahaja, maka orang yang miskin akan kekal sedemikian,” katanya.
Beliau berkata, sebagai sebuah kerajaan apatah lagi Kerajaan Madani harus lebih prihatin dan mahu negara ini maju, bermakna kita mesti pertahan meritokrasi yang terbaik, pintar dan cemerlang harus diberikan galakan, tetapi jangan pinggirkan miskin dan terpinggir.
Dalam hal itu, beliau menegaskan tidak mahu bersikap apologetik dan perkara ini harus difahamkan, namun beliau percaya ia akan tetap menimbulkan polemik, cuma tidak mahu ada lagi kekeliruan dari segi dasar.
“Merit ini sementera dipertahankan, jangan jadi satu ideologi ketat. Saya lihat anak orang besar pergi sekolah terbaik dunia, balik jadi orang intektual dan profesional, dia pertahankan golongan elit di atas.
“Mereka kebetulan lebih pintar menulis, jadi siapa yang mewakili orang tersisih, terbiar terpinggir ini? Siapa nak jadi wakil mereka ini?” katanya. – UTUSAN