Tempoh laksana e-invois dilonggar 6 bulan

Tempoh laksana e-invois dilonggar 6 bulan

ABU TARIQ JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk memberikan kelonggaran kepada pembayar cukai dalam tempoh enam bulan dari tarikh pelaksanaan mandatori e-Invois yang sepatutnya bermula 1 Ogos ini.

Mekanisme e-invois merupakan representasi dalam bentuk digital bagi transaksi yang dilaksanakan antara penjual dan pembeli bagi menggantikan penggunaan dokumen kertas atau elektronik.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, kelonggaran itu diberikan sebagai mengambil maklum komitmen pembayar cukai dalam mematuhi keperluan perundangan e-Invois yang memerlukan tempoh masa mencukupi.

Katanya, ini terutamanya melibatkan industri yang mempunyai persekitaran perniagaan yang mencabar dan kompleks.

“Bagi tempoh kelonggaran ini semua aktiviti atau industri dibenarkan mengeluarkan e-Invois yang disatukan termasuk e-Invois bil kendiri.

“Ini turut membenarkan apa-apa diskripsi transaksi dimasukkan di medan “Keterangan
Produk atau Perkhidmatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Abu Tariq, jika terdapat permohonan e-Invois daripada pembeli, penjual juga dibenarkan untuk hanya mengeluarkan e-Invois yang disatukan tanpa mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi.

Pada masa sama, beliau mengesahkan tiada tindakan pendakwaan di bawah seksyen 120 Akta Cukai Pendapatan 1967 terhadap ketidakpatuhan peraturan e-Invois dalam tempoh enam bulan itu.

Bagaimanapun, katanya, ia mesti mematuhi syarat yang dinyatakan di atas.

“Tempoh kelonggaran yang diberikan ini diharap akan memberi ruang masa mencukupi kepada pembayar cukai untuk memastikan pelaksanaan e-Invois sepenuhnya yang lebih efektif.

“Ini meliputi kesemua aspek seperti ketersediaan sistem, kelancaran operasi perniagaan dan pengurusan perubahan dalam perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, bagi mengiktiraf pembayar cukai yang berjaya melaksanakan e-Invois mengikut garis masa yang ditetapkan (tanpa menggunakan kelonggaran di atas), pengurangan tempoh tuntutan elaun modal daripada tiga tahun kepada dua tahun akan diberikan bagi pembelian peralatan ICT dan pakej perisian komputer.

Langkah itu berkuat kuasa mulai Tahun Taksiran (TT) 2024 hingga TT 2025.

Pelaksanaan e-invois bermula 1 Ogos ini melibatkan syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta.

Fasa kedua pula akan melibatkan syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM 25 juta hingga RM100 juta.

Sebelum ini, Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana (Samenta) berharap kerajaan dapat memberi nasihat kepada perniagaan kecil dan sederhana (PKS) mengenai e-Invois sebelum dapat menyesuaikan diri dengan pelaksanaan baharu itu.

Presidennya, Datuk William Ng berkata, bulan pertama pelaksanaan e-Invois boleh digunakan oleh kerajaan untuk mendidik PKS dan bukannya mengenakan denda segera kepada mereka.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN