PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah agar setiap umat Islam berhati-hati dalam menuntut ilmu agama di media sosial dan memastikan kandungan diperoleh adalah sahih dan berwibawa.
Baginda bertitah, setiap umat Islam perlu bijak menilai mana yang betul dan salah kerana penyebaran maklumat agama tidak tepat di media sosial boleh membawa kekeliruan, perpecahan dan amalan agama yang menyimpang.
“Pada hari ini, kita berdepan cabaran kebanjiran maklumat tanpa sempadan melalui media sosial yang sukar dikawal.
“Orang dahulu belajar agama dengan membaca kitab dan mendengar kuliah di masjid namun, orang sekarang belajar agama secara ‘online’ daripada ustazah Facebook dan ustaz TikTok.
“Terdapat juga kebimbangan semakin meningkat mengenai penyebaran maklumat berkaitan agama Islam yang mengelirukan, tidak tepat, salah tafsir dan ajaran yang menyimpang daripada prinsip Islam yang sebenar,” titahnya.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/ 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Raja Zarith Sofiah. Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Seri Paduka Baginda turut menggesa supaya tindakan penguatkuasaan dilakukan terhadap kandungan ajaran sesat dan menyediakan satu pusat rujukan agama untuk menyebarkan ilmu dan maklumat yang tepat.
“Jangan jadikan media sosial tempat kita berbalah atau bertengkar dan jangan buka aib orang lain atau tularkan perkara yang memalukan kerana ia akan menjadi punca perpecahan dan persengketaan,” titahnya.
Sementara itu, Sultan Ibrahim turut bertitah agar semua rakyat menjaga keharmonian di negara ini dengan sikap saling menghormati, saling memahami dan bertolak ansur.
Baginda berkata, dalam konteks Malaysia, perpaduan kaum dan agama yang kukuh adalah asas penting yang mesti dipelihara.
“Kita harus mengelak sebarang bentuk provokasi, fitnah dan hasad dengki yang boleh merosakkan ikatan perpaduan yang telah lama terjalin.
“Sebagai contoh, penggunaan pembesar suara di masjid dan surau yang kadang kala menimbulkan isu kepada penduduk setempat. Sebagai negara Islam, laungan azab masuk waktu solat adalah wajar dibuat dengan kuat.
“Namun, bacaan al-Quran, solat dan kuliah haruslah dibuat untuk dalam kawasan masjid itu sahaja,” titahnya.
Justeru, baginda juga menyeru agar kita kuatkan semangat hidup bersaudara untuk membentuk generasi masa hadapan negara yang bersatu padu.
Jelas baginda lagi, agama Islam yang dinamakan di negara kita adalah berlandaskan ajaran ahli sunnah wal-jamaah.
“Namun begitu, saya perhatikan telah ada banyak fahaman dan ajaran Islam yang berbeza-beza. Sudah menjadi macam rojak. Ini semua akan memecahbelahkan umat Islam. Jangan kita dibodoh-bodohkan dengan ajaran pihak yang ada kepentingan sendiri.
“Jika keadaan ini berterusan, macam mana umat Islam hendak bersatu. Awak semua fikirlah betul-betul. Saya cuma boleh ingatkan saja, awak semua buat pilihan,” katanya
Sambutan Maal Hijrah tahun ini memilih tema ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’ dan tema ini adalah manifestasi dari intipati ajaran Rasulullah SAW serta sangat signifikan bagi memacu umat di negara ini ke arah kejayaan yang hakiki dunia dan akhirat.
Dalam konteks ini, pembangunan ummah yang berteraskan konsep al-Falah (kejayaan) ini perlu disemai, digarap, dihayati dan dicapai bagi merealisasikan Gagasan Malaysia Madani. – UTUSAN