SPRM tiba di Kementerian Sumber Manusia, kumpul dokumen HRD Corp

SPRM tiba di Kementerian Sumber Manusia, kumpul dokumen HRD Corp

SEPASUKAN empat pegawai SPRM selepas selesai mengambil dokumen berkaitan bagi membantu siasatan berhubung isu HRD Corp di Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sepasukan empat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat tiba di bangunan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) kira-kira pukul 11.20 pagi tadi.

Difahamkan, mereka berada di bangunan itu bagi mendapatkan dokumen berkaitan berhubung siasatan isu Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).

Tinjauan wartawan di lobi bangunan mendapati, pegawai SPRM itu dipecahkan kepada dua pasukan dan mereka dilihat menaiki lif secara berasingan.

Sumber memaklumkan, pasukan pegawai itu naik ke tingkat 7 yang menempatkan (Cawangan Kawal Selia dan Penguatkuasaan).

Selepas sejam, empat pegawai SPRM itu dilihat keluar dari bangunan dengan membawa beberapa dokumen berkaitan dipercayai membabitkan kes HRD Corp itu.

Ketika didekati wartawan, salah seorang pegawai itu memaklumkan, mereka belum selesai mengambil dokumen dan akan datang semula pada sebelah petang.

Sabtu lalu, SPRM mengesahkkan sudah mengenal pasti beberapa individu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung isu HRD Corp seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dilaporkan berkata, pihaknya sudah terima laporan audit yang dikemukakan oleh KSU (Ketua Setiausaha) Kesuma.

“Antaranya isu pelaburan, pengurusan dana dan latihan, pembelian harta dan sebagainya. Oleh itu, satu pasukan khas dibentuk dan beberapa kertas siasatan sudah dibuka,” katanya.

Khamis lalu, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam LKAN 2/2024 dilaporkan berkata, Kesuma disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan susulan kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.

Sementara Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pula mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya