Perbezaan yang agak ketara di antara dua industri seni, Malaysia dan Indonesia sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Mereka sememangnya berada di kelas tersendiri.
Daripada jumlah peminat dan sokongan masyarakat setempat terhadap industri seni mereka khususnya nyanyian sangat berbeza, walaupun sering dibandingkan dengan Malaysia.
Menurut penyanyi yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zaraai, kita tidak boleh untuk berpandangan secara skeptikal berkenaan perkara itu namun memang tidak dapat dinafikan terdapat perbezaan yang sangat ketara.
“Sememangnya tidak dapat dinafikan di Indonesia ada banyak bakat yang sangat bagus jika nak dibandingkan dengan kita.
“Antara alasan utama bakat di negara itu bagus kerana bakat dan industri seni di sana lebih diangkat serta dihargai jika dibandingkan dengan di sini,” ujarnya.
Menurut Yuna, selain bakat artis di sana, sokongan daripada peminat yang tidak putus-putus seakan menambahkan seri bagi industri seni di sana.
“Peminat juga memang gila-gila menyokong artis mereka. Saya tak pernah nampak budaya yang dapat sokongan daripada peminat seperti itu di sini.
“Di Malaysia sememangnya ada, tetapi di sana peminat betul-betul memberi sokongan dan dorongan yang besar terutamanya kepada artis kesukaan mereka.
“Untuk masa depan, saya rasa kita perlu untuk berusaha membentuk budaya itu, walaupun memang sudah ada tetapi perlu kuatkan lagi sokongan itu,” katanya.
Dalam pada itu, bercakap berkenaan bakat pelapis penyanyi di Malaysia, Yuna berpandangan bahawa untuk membentuk bakat baharu, peminat di malaysia perlu mengubah arah angin menjadi seperti di sana.
“Saya rasa Malaysia memang ada bakat-bakat baharu yang besar tetapi kita perlu untuk memberi mereka sokongan yang keyakinan kepada mereka untuk pergi dengan lebih jauh.
“Bawa budaya itu dan kita semua akan dapat lihat mereka membuat sesuatu itu dengan lebih besar dan baik,” kongsi penyanyi berusia 38 tahun itu.
Gimme The Mic
Bakal membentuk bakat baharu bagi pelapis industri nyanyian Malaysia menerusi program realiti Gimme The Mic, penyanyi Terukir Di Bintang itu menyukai idea di mana bakat baharu diasah di atas pentas yang besar.
“Saya sukakan idea yang mana kita mencari raw talent, bukannya untuk artis yang sudah established, kita boleh tengok bakat yang menarik.
“Itu yang buat saya mahu jadi sebahagian dari program ini sebab saya nampak diri saya sebagai peserta, itu yang saya cakap apabila ditawarkan oleh pihak produksi untuk menjadi juri. Saya terus setuju, jom buat.
“Saya bersemangat untuk pulang ke tanah air dan memberi sumbangan kepada komuniti seni di Malaysia khususnya arena muzik di Malaysia,” ujarnya
Yuna berkongsi keterujaan untuk berada dalam program yang mengetengahkan ramai bakat seperti dirinya dulu yang berusaha mencari ruang di platform media sosial.
Yuna menjadi salah seorang juri di program itu selain Ajai dan Hael Husaini serta Bunga Citra Lestari.