SMK Kuala Nerang pertahan gelaran juara MSSD kali ke-18

SMK Kuala Nerang pertahan gelaran juara MSSD kali ke-18

PEMAIN bola sepak SMK Kuala Nerang muncul juara Kejohanan Bola Sepak Bawah 15 Tahun MSSD Padang Terap.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Buat kali ke-18 berturut-turut, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang menjadi juara bagi Kejohanan Bola Sepak Bawah 15 Tahun Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Padang Terap apabila mereka menewaskan SMK Datuk Syed Ahmad, 4-0 dalam perlawanan akhir, baru-baru ini.

Menurut Ketua Jurulatihnya, Effendi Ismail, 58, dia amat berbangga dengan pencapaian ditunjukkan para pemain yang sentiasa menunjukkan kesungguhan bagi mengekalkan kejuaraan sebegitu lama.

“Kami bersyukur dengan kemenangan ini. Kejayaan ini sebenarnya hadir daripada latihan berterusan dan disiplin tinggi ditunjukkan pelajar.

“Dalam memastikan disiplin itu dikekalkan, saya akui memang perlu bertegas dengan pelajar. “Saya bersyukur kerana atlet kami sejak dari dulu sampai sekarang, menerima apa yang cuba diterapkan. Ibu bapa juga tiada halangan malah sentiasa memberi sokongan padu untuk memastikan anak-anak mereka mencapai kejayaan seperti ini,” katanya.

Kejayaan itu menjadi lebih manis apabila penyerang mereka, Muhammad Irsyad Mohd. Zahir dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan apabila meledak 14 gol dalam lima perlawanan.

Keampuhan pasukan sekolah itu jelas terlihat apabila penjaring kedua dan ketiga terbanyak kejohanan juga dari SMK Kuala Nerang menerusi Yasin Muammar Rayyan dan Umar Hadir yang masing-masing menjaringkan tujuh serta empat gol.

Effendi yang juga guru Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) sekolah berkenaan berkata, kejayaan itu menjadi lebih manis apabila kapten mereka, Thiradaet Tang turut diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

“Ini mungkin hadiah terbaik buat saya yang akan bersara tahun depan. Saya bersyukur kerana selama ini boleh dikatakan setiap tahun, akan ada pemain SMK Kuala Nerang yang terpilih untuk mewakili Kedah dalam Piala Belia dan Piala Presiden. “Saya berterima kasih kepada pelajar, waris dan pentadbir yang sentiasa memberi sokongan penuh selama ini, ” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN