Single terbaru petanda masih 'hidup'' dalam industri seni - Rahmad Mega - Utusan Malaysia

Single terbaru petanda masih ‘hidup” dalam industri seni – Rahmad Mega

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun sudah lebih 30 tahun berkecimpung dalam industri hiburan namun itu bukan penghalang buat Rahmad Mega membuktikan dirinya kekal relevan dengan mengeluarkan single terbaru.

Kata Rahmad Mega atau nama sebenar Rahmad Tohak, 53, mengeluarkan lagu-lagu baharu sebagai pendekatan untuk memberitahu kepada pasaran bahawa dirinya masih lagi aktif dalam nyanyian.

“Walaupun kebanyakan rakan industri seusia saya sudah tidak mahu untuk keluarkan single terbaru tetapi saya suka mencabar diri sendiri.

“Ramai rakan artis seusia saya kata jika pergi ke show, mereka (penganjur) hanya meminta lagu-lagu popular sahaja. Terdapat juga yang merasakan di peringkat mereka itu, sudah tidak ada keperluan untuk hasilkan lagu-lagu baharu.

“Perkara ini terjadi juga kepada saya namun saya ambil pendekatan dengan mengeluarkan single baharu hanyalah untuk memberitahu orang bahawa saya masih aktif. Jika pergi ke show saya selitkan lagu baharu walaupun tiada dalam senarai permintaan daripada penganjur,” katanya.

Rahmad berkata demikian ketika ditemui pada Sidang Media Majlis Menandatangani Kerjasama antara Alternate Records dan Universal Music Malaysia baru-baru ini.

Rahmad merupakan antara artis yang bakal memulakan projek kerjasama itu bersama penyanyi lain seperti Ernie Zakri, Sonaone, Marsha Milan dan ramai lagi.

Bercakap mengenai persaingan di dalam industri nyanyian sekarang, penyanyi lagu Takdir Dan Waktu itu berkata, untuk bersaing dengan penyanyi baru, senior sepertinya haruslah tunjukkan mampu untuk membawa lagu seperti mereka.

“Lagu pada zaman saya agak mudah kerana rentak yang lebih beralun tetapi lagu pada zaman sekarang agak sukar kerana tempo dan rentak yang lebih pantas. Oleh itu, saya kena tunjukkan saya mampu ‘blend’ dengan industri seni sekarang.

“Jika lagu terbaru saya seperti Pemburu Rindu ini diberikan kepada penyanyi senior lain, saya rasa mereka tak mampu untuk membawanya kerana memerlukan teknik pernafasan laju.

“Dalam beberapa percubaan untuk melakukan lagu baharu, saya turut mengambil pengaruh melodi terkini untuk diletakkan dalam lagu baharu. Saya seorang yang boleh untuk bertukar karakter dalam nyanyian mengikut kepada melodi lagu itu,” kongsinya.

Vokalis kumpulan Mega itu juga berkongsi hasratnya untuk bergandingan dengan artis-artis baharu sebagai salah satu langkah untuk terus kukuh dalam industri.

“Sebagai penyanyi lama, saya kena pandai untuk membuatkan saya terus kukuh dalam industri. Buat masa ini saya sudah ada beberapa nama yang saya berminat untuk berkolaborasi.

“Saya perlu sedar yang saya perlu untuk curi perhatian daripada pengikut-pengikut mereka untuk menambah menjadi pengikut saya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya