Shuk Sahar bersyukur kembali diterima, anggap rakyat Malaysia pemaaf - Utusan Malaysia

Shuk Sahar bersyukur kembali diterima, anggap rakyat Malaysia pemaaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas penyampai radio, Shuk Sahar, bersyukur kerana rakyat Malaysia kembali menerima kehadirannya di dalam industri hiburan negara.

Menurut Shuk atau Mohamad Shukri Mohamed Sahar, 38, kontroversi peribadi yang menyebabkannya digam stesen televisyen hampir dua tahun lalu banyak memberikan pengajaran kepadanya.

“Masyarakat Malaysia ini pemaaf. Saya bersyukur hidup di Malaysia, kerana kalau kita buat sesuatu yang salah memang mereka akan marah. Tapi kalau kita tampil betulkan keadaan, mereka akan terima.

“Jadi bila saya dan Fara mengambil keputusan untuk ‘settle down’, kita kahwin, buat benda betul, penerimaan orang sudah semakin baik,” katanya.

Shuk berkata demikian ketika ditanya kehidupan terkini apabila berkahwin kali kedua November tahun lalu.


Jelas Shuk lagi, jika dahulu namanya dan isteri selalu menjadi target caci maki warganet, kini semua kebencian perlahan-lahan hilang.

“Berbanding dulu kalau orang nampak kami bersama orang akan kecam.

“Sekarang kalau kita muat naik apa pun orang tak kecam. Mereka (netizen) okay,” katanya di sidang media Dol’s Podcast bersama Shuib dan Fizie di Tasty Chapati, hari ini.

Bercerita lanjut mengenai perkahwinannya bersama Fara, Shuk mengakui majlis pernikahan pada November tahun lalu hanya dilakukan secara ringkas dan dihadiri keluarga terdekat.

“Kami buat sederhana sahaja. Banyak hati yang saya tidak boleh puaskan. Jadi saya ambil keputusan jalankan dulu apa yang wajib.

“Mana tahu tiba-tiba ada rezeki lebih, mungkin kita boleh buat kenduri dan saya akan jemput semua,” katanya.

Sebelum bernikah dengan Fara, Shuk pernah mendirikan rumah tangga dengan Rossa Sera pada 2015 tetapi bercerai pada 22 Mac 2023.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Qurratu Ain, 8, dan Nur Assyifatu Aimi, 5 tahun.

Dalam perkembangan lain, Shuk tampil
menjadi salah seorang pengendali audiosiar
Dol’s Podcast bersama Shuib dan Fizie.

Shuk menerima pelawaan daripada Shuib sekitar Mac lalu melihat kepada kejayaannya menjadi pengendali sebuah podcast di Singapura sebelum ini.

“Selepas berapa tahun saya tidak jumpa Shuib, saya dapat bertemu kembali menerusi podcast yang saya buat di Singapura pada Mac lalu. Perasaan rindu datang.

“Saya gembira kami dapat kembali bersama sebab mereka berdua ini sangat baik dengan saya dan saya gembira dapat kembali buat podcast di Malaysia.

“Salah satu benda yang saya sayang dari dulu adalah radio, jadi saya sayang teman saya di radio dulu seperti Shuib yang saya sudah kenal 14 tahun dan Fizie pula saya sudah kenal empat tahun,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya