Seorang lagi suspek buli siber pempengaruh media sosial ditahan

Seorang lagi suspek buli siber pempengaruh media sosial ditahan

AHMAD SUKARNO MOHD. ZAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lagi lelaki yang disyaki melakukan buli siber terhadap pempengaruh media sosial, A. Rajeswary atau popular dipanggil Esha di media sosial TikTok sehingga ditemui meninggal dunia  ditahan semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari mengesahkan lelaki itu ditahan pada pukul 6.30 petang semalam.

“Suspek sudah ditahan di Setapak dan permohonan reman ke atasnya akan dibuat hari ini,” kata beliau.

Dalam pada itu,menurut beliau,  tempoh reman ke atas suspek pertama yang ditahan, kelmarin yang sepatutnya tamat hari ini akan disambung dua hari lagi sehingga 12 Julai ini.

Kelmarin, polis memaklumkan pihak polis berjaya menahan salah seorang daripada dua suspek yang dicari berkaitan kes itu.

Suspek, seorang wanita tempatan dan bekerja sebagai pembantu rumah jagaan orang tua ditahan di Jalan Cempaka 2, Bukit Beruntung Golf Resort, Rawang, Selangor pada pukul 1.45 pagi, kelmarin.

Suspek kemudian direman selama tiga hari untuk membantu siasatan.

Tangkapan ke atas kedua-dua individu itu susulan  satu laporan dibuat seorang lelaki berusia 39 tahun pada pukul 4.13 petang, Sabtu lalu berhubung ugutan diterima Rajeswary menerusi aplikasi TikTok.

Laporan dibuat terhadap dua pengguna TikTok terbabit yang didakwa melemparkan fitnah serta ugutan terhadap mangsa.

Kedua-dua akaun TikTok terbabit menggunakan gambar Rajeswary sebagai latar belakang kandungan video yang dimuat naik ke akaun media sosial suspek.

Mereka disyaki melemparkan kata ugutan dan ancaman terhadap mangsa serta turut menggunakan kata-kata kesat dan lucah.

Media sebelum ini melaporkan Rajeswary, 30, ditemui meninggal dunia di sebuah unit kediaman di sebuah kondominium di Setapak pada Jumaat lalu, dipercayai ada kaitan dengan tekanan dhadapinya kerana menjadi mangsa buli siber.

Mendiang sempat membuat satu laporan polis berhubung buli siber yang dihadapinya di Balai Polis Dang Wangi pada 4 Julai lalu sebelum siasatan dipindahkan ke pihak Polis Daerah Sentul untuk siasatan.

Pihak polis kemudian meminta mendiang menghadirkan diri ke balai polis untuk dirakam keterangan namun dipercayai tidak sempat berbuat demikian kerana dia ditemui meninggal dunia pada keesokan hari.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya