PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyifatkan apa yang sedang dihadapi oleh Bersatu ketika ini berhubung isu kedudukan enam bekas ahli Parlimennya yang berpaling tadah sebagai senjata makan tuan.
Selain itu, katanya, sebarang bentuk kritikan susulan daripada keputusan yang dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul juga sepatutnya diletakkan di atas bahu pemimpin parti berkenaan.
“Tentang sikap beberapa orang yang terpekik terlolong dalam Parlimen baru-baru ini, mereka lah antara yang paling tak setuju dengan pindaan (Perlembagaan), sekiranya dilakukan akan menghalang kejadian-kejadian seperti yang kita saksikan sekarang.
“Apa saya boleh kata, senjata makan tuan. Kalau mereka hendak salahkan sesiapa, salahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Hamzah (Datuk Seri Hamzah Zainudin) dan Radzi (Datuk Dr. Radzi Jidin), tanya siapa yang paling tidak mahu pindaan yang menyeluruh, jadi jangan sekarang hendak tunjuk hero,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Fahmi berkata demikian ketika mengulas berhubung kritikan yang dilemparkan terhadap Johari susulan menolak permohonan Bersatu untuk mengosongkan enam kerusi bekas ahli Parlimen parti tersebut.
Kelmarin, media melaporkan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai wakil rakyat.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan perkara itu dimaklumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menerusi surat bertarikh 9 Julai.
Enam ahli Parlimen itu adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, ramai kalangan ahli Parlimen Bersatu turut membantah sewaktu pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Lompat Parti 2022 secara menyeluruh, sebelum ini.
“Kita semua maklum Tan Sri Muhyidin berpeluang melakukan pindaan kepada perlembagaan Bersatu seperti UMNO dan DAP yang berlaku sebelum PRU (Pilihan Raya Umum). Jadi semua calon UMNO, DAP malah Keadilan semua tahu dan terikat sama ada aku janji dan perlembagaan parti.
“Berbeza dengan Bersatu yang paling tidak mahu menyaksikan sejumlah pindaan yang dicadangankan menteri undang-undang ketika itu, sekarang Tun Wan Junaidi dan malah banyak lagi yang boleh diceritakan,” ujarnya. – UTUSAN