Semua 95 pelajar Malaysia di Dhaka selamat, dua pelajar sudah dibantu pulang

Semua 95 pelajar Malaysia di Dhaka selamat, dua pelajar sudah dibantu pulang

WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Kesemua 95 pelajar Malaysia di Dhaka, Bangladesh kini berada dalam keadaan selamat susulan insiden protes rakyat di negara berkenaan.

Perkara itu disahkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka setakat pukul 4 petang tadi yang turut membantu dua pelajar meninggalkan negara itu baru-baru ini.

Suruhanjaya Tinggi juga sedang berkomunikasi dengan pihak berkuasa tempatan bagi menjamin keselamatan pelajar-pelajar Malaysia di kawasan yang terjejas.

“Usaha sedang dilakukan untuk membawa pulang empat pelajar dari Kolej Perubatan Mymensingh ke Malaysia, manakala sekumpulan pelajar telah dipindahkan ke penginapan sementara.

“Perkhidmatan internet di Bangladesh mengalami gangguan meluas, tetapi perkhidmatan telefon dan SMS masih beroperasi,” kata Kementerian Luar di sini malam ini.

Wisma Putra turut memaklumkan, ahli keluarga terdekat pelajar Malaysia di Dhaka boleh menghubungi Bilik Perhubungan Kementerian Luar Negeri di +603 8887 4570.

Pada masa sama, Kementerian Luar terus menggesa semua rakyat Malaysia yang berada di Bangladesh untuk mengelakkan kawasan protes, kekal berwaspada, dan mematuhi nasihat keselamatan serta kemas kini yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan.

Semua pihak diminta untuk kekal tenang dan bertindak berhemah sementara Suruhanjaya Tinggi berusaha sebaik mungkin untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia di kawasan tersebut.

Angka kematian akibat demonstrasi menentang dasar kerajaan yang menetapkan kuota pengambilan pekerja dalam perkhidmatan awam di ibu negara Bangladesh makin meningkat dengan 39 dilaporkan maut.

Pertempuran ganas itu juga menyebabkan seramai 104 pegawai polis dan 30 wartawan cedera, lapor Independent Television.

Rangkaian stesen penyiar swasta itu melaporkan, secara keseluruhannya, seramai 702 orang cedera semasa konfrontasi antara anggota polis dan penunjuk perasaan, dengan pertempuran merebak di 26 daripada 64 daerah di negara itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN