Semak sumber ilmu agama, pastikan sahih supaya tidak keliru - Tokoh Ma'al Hijrah

Semak sumber ilmu agama, pastikan sahih supaya tidak keliru – Tokoh Ma’al Hijrah

SULTAN Ibrahim menyampaikan anugerah kepada ALI Muhyiddin Ali Al-Qaradaghi (dua kanan) pada Majlis Sambutan Ma'al Hijrah Tahun 1446H / 2024M di PICC, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA” Umat Islam di negara ini dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan menyemak kesahihan sumber ilmu Islam yang diperoleh di media sosial

Teguran itu diberikan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1446H/ 2024, Datuk Seri Hassan Ahmad yang menegaskan, semakan itu penting bagi mengelak menerima ilmu dari sumber tidak dipercayai dan boleh menimbulkan keraguan.

“Saya setuju (menjunjung kasih) titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di mana sumber ilmu ini perlu diambil serius.

“Ketika ini, macam-macam sumber mereka letak (di media sosial), sebab itu kita kena pastikan (ilmu agama) yang kita ambil itu adalah sumber diyakini dan sahih,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1446H/2024M di sini, hari ini.

Hassan yang juga bekas Mufti Pulau Pinang berkata, titah itu perlu diambil serius oleh setiap rakyat agar tidak berlaku perpecahan dalam masyarakat berbilang kaum, agama serta budaya di negara ini.

“Titah Sultan Ibrahim tadi memang bertepatan dengan dengan keadaan semasa. Jangan kita cuba memecah belah masyarakat,” katanya.

Katanya lagi, beliau juga berhasrat untuk menyebar luas agama Islam secara lebih menyeluruh kerana Islam sebenarnya mencakupi setiap bidang dalam kehidupan seharian.

Sementara itu, Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Prof Dr Ali Muhyidddin Ali Al-Qaradaghi berkata, beliau komited untuk terus menyumbang kepada Malaysia dalam pelbagai aspek terutama dari segi pembangunan ekonomi dan kewangan Islam.

“Saya bersedia memberikan perkhidmatan ilmu kepada rakyat dan negara ini termasuk berkaitan ekonomi Islam bermula dengan ilmu, sistem dan penganalisaan eknomi.

“Saya yakin Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu mengeluarkan satu model ekonomi Islam di zaman ini,” katanya.

Dr Ali Muhyiddin adalah seorang tokoh terkemuka dalam bidang Ekonomi Islam, Perbankan Islam, Maqasid Syariah dan Pemikiran Islam serta menjadi rujukan utama pelbagai institusi kewangan dan perbankan Islam dalam lapangan antarabangsa, adalah antara individu terawal terbabit dalam terbitan sukuk di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya