Selina Lo kagum keramahan rakyat Malaysia - Utusan Malaysia

Selina Lo kagum keramahan rakyat Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara British, Selina Lo, kagum dengan sifat rakyat Malaysia yang peramah dan mesra.

Selina berkata demikian ketika berkongsi pengalamannya mengembara ke empat lokasi di Malaysia iaitu Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang untuk rancangan Unfading Memoirs.

“Perkara yang mengagumkan saya sepanjang mengenai Malaysia ialah kemudahan yang disediakan serta sikap masyarakatnya yang peramah.

“Saya gembira melihat kemesraan yang ditunjukkan orang di sini membuatkan saya sangat selesa untuk berbual dengan sesiapa sahaja yang saya jumpa.

“Ada beberapa negara yang saya kunjungi membuatkan saya rasa seperti seorang pelancong. Tapi di Malaysia, cara mereka berbual seolah-olah saya adalah kawan mereka,” katanya menerusi satu temu ramah dalam talian bersama Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mengacarakan program Unfading Memoirs bersama Justin Bratton, pelakon Boss Level itu mengakui sedikit gementar ketika diminta berjalan dalam laut memandangkan dirinya tidak mahir berenang.

“Saya tidak boleh lupa situasi di mana saya dan Justin kena berjalan dalam laut di Sabah. Jujurnya, saya mahir menggunakan senjata dan berlawan, tapi tidak pandai berenang dan memandu.

“Awalnya agak gementar juga tapi Justin yakinkan saya untuk cuba. Sebenarnya laluan itu agak dalam.

“Tapi saya jadi lebih tenang selepas nampak ikan Nemo berenang-renang di sekeliling saya. Sangat cantik dan saya boleh katakan itu adalah momen paling tidak boleh saya lupakan sepanjang program ini.

“Bila habis lakukan aktiviti itu, Justin mengaku yang dia rupanya sama-sama takut,” katanya berseloroh.

Unfading Memoirs merupakan rancangan travelog yang diterbitkan hasil kerjasama KC Global Media, AXN Asia dan Kementerian Pelancongan Malaysia untuk menunjukkan keistimewaan negara baik dari aspek budaya, sejarah, makanan dan lain-lain.

Siri digital ini akan memaparkan perjalanan Selina dan Justin selaku pengembara menjelajah ke empat destinasi terbaik di Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN