ARAU: Selepas 12 hari dilaporkan hilang selepas dikatakan keluar dari rumah suaminya di Kampung Katong, Pauh di sini, seorang warga emas berusia 60 tahun akhirnya ditemukan dalam keadaan selamat di sebuah pondok di kawasan sempadan Perlis-Kedah di Gua Kerbau, Kodiang, Kubang Pasu hari ini.
Rokiah Ja’afar ditemui tinggal di dalam sebuah pondok lama berhampiran gua di situ oleh seorang rakannya yang mengerjakan tanaman padi di kawasan berkenaan.
Adik ipar Rokiah, Zunizam Ismail, 45, berkata, penemuan tersebut dimaklumkan oleh seorang rakan sekampung yang ada mengerjakan bendang sekitar kawasan berhampiran gua berkenaan.
Katanya, sekitar pukul 7.45 pagi, dia dan ahli keluarga lain bergegas menjemputnya di pondok itu yang terletak 3.6 kilometer dari lokasi rumah suaminya ketika dia mula-mula hilang.
“Alhamdulilah, kami bersyukur apabila kakak ditemui semula dalam keadaan selamat. Ketika ditemui, kakak ipar berada dalam keadaan sihat dan kakak juga hanya makan nasi putih sehari sekali bagi mengalas perut selama 12 hari tinggal di pondok itu.
“Daripada mana dia dapat nasi putih itu pun tidak diketahui dan kami pun tidaklah mahu terus mengasak dia untuk bertanya pelbagai soalan terhadapnya buat masa ini.
“Kami sudah pun membawanya ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk melakukan pemeriksaan lanjut dan buat masa ini, dia sedang berehat dan tinggal dengan kami. Perkara ini juga sudah dimaklumkan kepada polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, mengenai kehilangan warga emas tersebut selepas dikatakan keluar dari rumah suaminya di Kampung Katong, Pauh pada 23 Jun lalu sekali gua mencetuskan kebimbangan keluarga.
Malah, sepanjang tempoh hilang itu, pelbagai usaha pencarian dilakukan ahli keluarganya yang tidak hanya bertumpu di kawasan Pauh malah di segenap pelusuk daerah di Perlis namun tidak menemui sebarang petunjuk.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superitendan Ahmad Mohsin Md Rodi mengesahkan mengenai penemuan warga emas yang dilaporkan hilang sejak 23 Jun lalu.
“Warga emas itu sudah pun dibawa ke HTF untuk pemeriksaan lanjut berhubung kesihatannya namun dia dilaporkan dalam keadaan baik. Kita masih lagi menyiasat punca kehilangannya itu buat masa ini,” katanya.-UTUSAN