KUALA NERUS: Selangor optimis masih berpeluang bangkit dalam aksi timbal balik selepas kalah tipis 2-3 di tangan Terengganu FC (TFC) pada aksi separuh akhir pertama Piala FA, semalam.
Pengendali The Red Giants, Nidzam Jamil, berkata, keyakinan itu dibuat sebaik melihat komitmen dan sikap tidak menyerah kalah barisan pemainnya ketika berkunjung ke gelanggang keramat TFC itu.
Malah jurulatih berusia 44 tahun itu menyifatkan Selangor berhak untuk menamatkan perlawanan itu dengan keputusan seri setelah bangkit daripada ketinggalan dua gol.
“Saya mengharapkan kedudukan 2-2 boleh kekal sehingga tamat namun inilah bola sepak dan saya bangga dengan semangat juang Selangor, itu yang buat kami positif untuk bangkit di laman sendiri.
“Apa yang merisaukan ialah prestasi kami di tempat lawan setelah tewas kepada Kuching City, KL City dan kini TFC. Cuma saya suka komitmen pemain untuk bangkit dan teruja menjelang 90 minit kedua nanti.
“Saya menghormati TFC tetapi benteng pertahanan Selangor harus lebih baik lagi dan fokus ketika permainan. Itu ‘kerja rumah’ dan tanggungjawab barisan jurulatih untuk aksi timbal balik,” katanya ketika ditemui semalam.
Nidzam turut memuji komitmen ditunjukkan pemain tengahnya, Noor Al-Rawabdeh yang mahu meneruskan perjuangan membantu rakan-sepasukan meskipun mengalami kecederaan.
Jelasnya, komitmen pemain kelahiran Jordan itu membuahkan hasil setelah dia menyamakan kedudukan pada awal babak kedua untuk kembali menghidupkan peluang Selangor.
“Dia (Noor) memberitahu mahu meneruskan permainan dan pemain lain menunjukkan semangat juang yang sama tetapi bola sepak adalah kombinasi semua sebelum kami akhirnya tewas.
“Saya lihat Selangor masih ada peluang, kami bukan bermain begitu teruk di sini atau datang untuk bertahan sebaliknya berjaya menjaringkan dua gol di gelanggang keramat TFC.
“Kami ada perlawanan Liga Super bertemu Penang FC dan Sri Pahang selepas ini, jadi pemain-pemain harus kekal cergas untuk menerima kunjungan TFC pada 3 Ogos nanti,” jelas Nidzam.-UTUSAN