KUALA LUMPUR : Pelakon dan pengacara, Irma Hasmie, 42, memilih untuk berdamai dengan takdir demi ketenangan diri sendiri dan keluarganya tanpa perlu mencanang perihal peribadi.
Bagi Irma, itu adalah cara terbaik berbanding terus menjaja kisah perceraiannya kepada umum yang kemudiannya mengundang pelbagai spekulasi tidak benar.
“Apa yang terjadi mengenai rumah tangga saya sebelum ini adalah satu proses yang panjang. Untuk waktu sekarang, boleh dikatakan saya okey, Alhamdulillah.
“Perkara itu terlalu peribadi dan saya rasa masyarakat pun memahami keadaan itu. Saya tak rasa perlu buat apa-apa kenyataan kerana cukup hanya orang terdekat sahaja yang tahu,”katanya.
Irma berkata demikan ketika ditemui pada majlis pelancaran BeCalm Cookies di Menara Star, di sini, hari ini.
Selain itu, Irma berkata, berita mengenai perceraian yang dikongsikan oleh sahabat baiknya, Reen Emran menerusi satu hantaran di Instagram Stories sebelum ini juga berlaku di luar kawalannya.
“Ia berlaku di luar kawalan saya sebenarnya. Tentulah orang terdekat dengan saya mengetahui perkara sebenar. Namun itulah saya cakap, kawan sendiri pun saya tak mampu nak kawal tindakannya.
“Mungkin mereka rasa hanya mahu menjalankan tanggungjawab sebagai seorang sahabat.
“Saya pun tak boleh cakap lebih-lebih atau kawal kehidupan mereka. Benda itu sudah berlaku pun. Tetapi saya tetap dengan pendirian saya dengan cara sendiri,”katanya.
Dalam pada itu, Irma memaklumkan dua anaknya iaitu Syed Irfha,11, dan Irma Nur Naylie,10, kini berada di bawah jagaannya.
“Alhamdulillah, anak-anak okey, Insya-Allah. Saya syukur sangat-sangat mereka baik-baik belaka semuanya,”katanya.
Sekadar info, Irma dan Redza mendirikan rumah tangga pada tahun 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata.
Terdahulu, media melaporkan perkahwinan Irma Hasmie bersama Redza Syah Azmeer sudah berakhir.
Perkara itu disahkan rakan baik Irma iaitu Reen Emran menerusi Instagram Stories pada tanggal 30 April lalu.
Kemudian, lebih mengukuhkan lagi perkara berkenaan apabila bekas suaminya, mengesahkan telah menjalani proses perceraian pada tahun lalu.