Saya tak akan lepaskan - Aishah - Utusan Malaysia

Saya tak akan lepaskan – Aishah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Aishah, 59, menegaskan akan terus menuntut bayaran asal harga tanah yang dijanjikan sebagai hadiah kemenangan selaku juara Gegar Vaganza musim ke-4.

Kata Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, meskipun kes tersebut berlanjutan selama enam tahun, dia tidak akan sesekali menyerah kalah apatah lagi melepaskan penaja, Datuk Seri Mohd. Amir Mohd. Esa yang sehingga kini gagal melunaskan bayaran tersebut.

“Sekarang saya serahkan kepada keputusan mahkamah, antara keluarkan waran tangkap atau dia jatuh muflis.

“Sebelum ini saya beri dia peluang, katanya nak lunaskan bayaran secara bulanan. Surat peguam mengenai pengakuan itu pun sudah dia keluarkan.

“Tapi setakat ini, saya tak terima apa-apa. Beberapa minggu lepas saya hantar mesej kepadanya untuk mengesahkan semula, adakah dia benar-benar mahu lunaskan bayaran secara bulanan. Dia diamkan diri.

“Apa pun saya tak akan lepaskan, sudah banyak usaha yang saya lakukan,” kongsinya.

Aishah ditemui pada sidang media single Di Pinggir Kayangan yang dipopularkan Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini. Lagu tersebut dirakam semula Aishah dalam versinya yang tersendiri.

Aishah sebelum ini diangkat sebagai juara GV4 sekaligus melayakkan beliau membawa pulang wang tunai RM100,000, pakej percutian ke Eropah Timur, barangan kemas, baucar beli belah bernilai RM6,000 serta trofi.

Timbul isu apabila penaja tidak melunaskan seperti yang dijanjikan, sebaliknya bercadang memberi penyanyi tersebut sebidang tanah yang saiznya lebih kecil berbanding lot banglo berkenaan.

Kes tuntutan itu bagaimanapun selesai di mahkamah pada September dua tahun lalu apabila penaja bersetuju dengan cadangan penyelesaian iaitu membayar jumlah asal harga tanah yang dijanjikan iaitu RM300,000.

Diminta pandangan mengenai tindakan sesetengah pihak yang melabel penyanyi ini tamak gara-gara isu tersebut, Aishah menegaskan dia hanya menuntut apa yang ditetapkan sebagai haknya.

“Pembenci wujud di mana-mana. Pada saya, kita kena berani. Salah, tetap salah. Secara undang-undang, saya di pihak yang betul. Saya tuntut hak saya.

“Pandangan orang lain bukan masalah saya. Mereka bermasalah disebabkan saya kejar hak saya? Jelas yang bermasalah adalah mereka (pembenci), bukan saya.

“Sebab itu saya tak akan bagi ruang untuk orang goyangkan saya. Perkara yang dijanjikan, nilainya ratusan ribu, bukan puluhan ringgit. Kalau awak ditempat saya, awak tak lawan kah? Saya tuntut yang dijanjikan sebab saya sudah pun lunaskan kerja saya. Itu sahaja,” tegasnya.

Kata Aishah lagi, dia juga mahu isu yang dihadapinya ini menjadi teladan dan pengajaran buat semua pihak, lebih-lebih mereka yang bergelar penaja agar tidak culas dalam melunaskan pemberian seperti yang mereka janjikan.

“Nak cakap apa, silakan. Tindakan saya mungkin bukan keputusan yang popular tetapi ia tindakan yang betul. Ini adalah pengajaran, supaya tidak ada mana-mana pihak yang senang-senang nak berjanji. Kalau tidak, artis, akan terus ‘digoreng’.

“Saya disuruh diam kerana mempertahankan hak saya. Tak boleh begitu. Penaja berkenaan sudah guna khidmat dan mereka pun sudah dapat pulangan pelaburan. Lepas itu, canang sana dan sini pasal hadiah yang mereka taja.

“Penaja hanya perlu lunaskan apa yang mereka janjikan sebab saya sudah laksanakan kerja saya. Ada perjanjian yang dicapai.

“Tapi ada pihak yang tuduh saya bersikap tamak, apa benda? Ambil contoh, kalau majikan janjikan bonus, tapi hanya berikan RM2 atau duit daun, anda mengamuk atau tidak?” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN