PETALING JAYA: Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza, mendedahkan pernah hampir kehilangan nyawa akibat komplikasi yang dialaminya selepas melahirkan anak sulungnya, Siti Aafiyah pada 2018.
Menurut Siti, walaupun berdepan saat genting, dia bersyukur kerana Aafiyah selamat dilahirkan.
“Sejurus bersalin itulah saya alami komplikasi. Perkara ini tidak pernah saya kongsikan kepada masyarakat.
“Tunku Azizah tahu lebih awal keadaan saya. Saya dan suami, ada cerita mengenai perkara itu tapi Alhamdulillah, Allah selamatkan saya.
“Walau pun hampir kehilangan nyawa, saya ambil juga keputusan untuk buat rawatan yang sama bagi anak kedua, Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya.
Siti ditemui Utusan Malaysia ketika majlis sidang media majlis perasmian cawangan baru Alpha IVF, di Damansara, pada Sabtu.
Mengimbau kembali pengalamannya mendapatkan zuriat pertama selepas lebih sedekad berumah tangga, penyanyi Biarlah Rahsia itu berhenti bernyanyi selama setahun.
“Allah beri saya rezeki dari segi kerjaya tapi Dia uji saya dengan cahaya mata. Namun saya percaya kepada rezeki Allah yang akan memberi saya anak pada waktu yang tepat.
“Sambil sibuk kerja, saya curi masa buat rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) sebagai cubaan buat kali terakhir. Saya pernah terdetik begitu di dalam hati.
“Semasa buat rawatan IVF mendapatkan Aafiyah. Saya ambil keputusan untuk hentikan kerjaya nyanyian selama setahun.
Bukan itu sahaja, sepanjang proses rawatan itu, Siti turut menjadikan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandar, sebagai idola.
“Sebenarnya waktu menjalani kaedah IVF, saya menjadikan Tunku Azizah sebagai idola.
“Jika saya buat rawatan lima kali, tapi Tunku menjalani rawatan sebanyak 17 kali untuk mendapatkan zuriat. MasyaAllah.
“Perjuangan menjadi seorang ibu bukanlah perkara yang mudah. Baik bersalin normal atau pembedahan, kedua-duanya ada perjuangan dan pengorbanan,” jelasnya.
Alpha IVF Group Berhad menerusi Pusat Kesuburan Alhaya telah membuka cawangan baru yang kini beroperasi di Hospital Pakar KPJ Damansara 2.
Majlis tersebut turut dirasmikan oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandar.
Untuk rekod, Siti mendirikan rumah tangga dengan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa pada 21 Ogos 2006.
Selepas lebih sedekad, Siti disahkan hamil anak sulung Siti Aafiyah pada Jun 2017 dan anak kedua,Muhammad Afwa, pada Ogos 2020 menggunakan kaedah rawatan IVF.