SEPANG: “Saya dikurung selama tiga hari dalam ‘bilik hitam’ tanpa diberi makan dan minum selain turut dipukul,” kata Steven, 38, mangsa terbaharu sindiket pemerdagangan manusia di Myawaddy, Myanmar.
Steven yang berasal dari Ipoh, Perak selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tengah hari tadi selepas lima bulan dijadikan tahanan serta terperangkap di negara itu.
Menceritakan detik cemas ketika dalam tahanan sindiket, Steven berkata, dia dikurung dalam bilik itu hanya kerana tidak mampu melakukan terjemahan ayat kepada bahasa Melayu.
“Dia minta saya jadi penterjemah dari bahasa lain ke kepada Bahasa Melayu. Saya bahasa Melayu pun kurang. Setiap kali tak dapat terjemah, saya dipukul oleh mereka.
“Saya berada disana bukan untuk jadi scammer sebaliknya diminta jadi penterjemah bahasa. Lebih teruk, gaji satu sen pun tidak dibayar sepanjang lima bulan kerja di sana,” katanya.
Katanya, dia kemudian nekad melarikan diri selepas menyogok mereka (sindiket) dengan sejumlah wang sebanyak RM10,000 sebelum berjaya melarikan diri.
Steven berkata, dia akui masih ada sekitar tujuh warganegara Malaysia masih berada di sana dan kebanyakannya berbangsa India.
Menurutnya, dia berlepas ke Bangkok, Thailand sekitar Februari lalu selepas ditawarkan peluang pekerjaan di sebuah bar di Taiwan dengan haji lumayan RM15,000 sebulan.
“Mereka minta saya ke Bangkok terlebih dahulu sebelum dibawa ke Taiwan. Bagaimanapun, selepas tiga minggu di sana (Bangkok), mereka kemudian bawa saya ke Myawaddy.
“Sebaik tiba di sana, saya dipukul dan tidak diberi makan dan minum selain diseksa dengan renjatan elektrik. Ketika itu, saya baru sedar saya ditipu,” katanya.
Katanya, dia pernah membuka sebuah kafe di Ipoh, Perak namun, terpaksa ditutup akibat masalah kewangan.
Jelasnya lagi, dia menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak mudah percaya dengan orang luar terutama yang menawarkan gaji lumayan. – UTUSAN