'Saya mahu bertemu, menatap wajah ibu sahaja...'

‘Saya mahu bertemu, menatap wajah ibu sahaja…’

NUR ALEYA MAISARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang remaja perempuan berhasrat bertemu semula dengan ibu kandungnya selepas diserahkan kepada keluarga angkat sejak 14 tahun lalu.

Nur Aleya Maisara, 14, yang kini menetap bersama keluarga angkatnya di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras berkata, dia dilahirkan di Hospital Ampang pada 2010 dan dimaklumkan hanya dua hari dapat bersama ibunya sebelum ditinggalkan.

Menurutnya, dia berharap dapat bertemu dengan ibu yang dipercayai berasal dari Sabah itu selain dapat membantunya membuat kad pengenalan diri bagi urusan persekolahan dan lain-lain.

“Apa pun alasan diberikan ibu kerana meninggalkan saya tidak menjadi persoalan kerana saya hanya mahu bertemu dan menatap wajah ibu sahaja.

“Selepas itu, terpulang lah pada ibu sama ada mahu bertemu semula atau sebaliknya kerana keluarga yang menjaga sejak 14 tahun lalu ini sudah saya anggap sebagai ibu bapa sendiri,” katanya.

Sementara itu, penjaga Nur Aleya, Mohd Darul Ridzuan Majid, 41, berkata, dia dan isteri sentiasa berusaha mengesan ibu kandung Nur Aleya, yang dikenali sebagai Siti, namun menemui jalan buntu.

Katanya, dia mengenali Siti melalui seorang rakan dan wanita itu menyerahkan Nur Aleya kepadanya buat sementara kerana ingin pulang ke Sabah atas beberapa urusan.

“Dia (Siti) meninggalkan Nur Aleya kepada saya tanpa sebarang dokumen. Saya pernah merujuk perkara ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk proses anak angkat, namun saya perlu mendapatkan persetujuan waris terlebih dahulu,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara ini boleh menghubunginya di talian 016-6762877. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN