KUALA LUMPUR: Dikecam warganet selepas hadir ke mahkamah dengan senyuman lebar, pelakon Ruhainies menyangkal dakwaan bahawa dia bersikap tidak sensitif ketika berdepan dengan isu khalwat yang sedang dijalaninya kini.
Mempertahankan diri, Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, berkata, dia sebaliknya tersenyum gembira kerana akhirnya dapat bertemu rakan-rakan media.
Jelas aktres berusia 32 tahun ini, dia cuma menjadi diri sendiri dan mengakui tidak pandai berlakon dan tidak mahir untuk sengaja menitiskan air mata depan kamera.
“Saya senyum sebab nampak rakan-rakan media dekat sini. Saya teruja setelah sekian lama tak berjumpa kalian semua.
“Saya bersyukur sebab kalian sudi datang awal pagi untuk prosiding hari ini.
“Mengenai itu, tak akan saya nak menangis pula, saya tak pandai berlakon, tak pandai menangis depan kamera,”katanya.
Ruhainies berkata demikian ketika ditemui selepas perbicaraan kes khalwat di Mahkamah Tinggi Syariah, disini, hari ini.
Terdahulu, Aliff dan Ruhainies mengaku tidak bersalah di hadapan hakim atas pertuduhan khalwat yang berlaku di kondominium di ibu negara pada 9 Mac lalu.
Pada 20 Jun lalu, Aliff dan Ruhainies dibebaskan dengan jaminan mahkamah sebanyak RM1,500 setiap seorang.
Kehadiran mereka berdua dipercayai atas tujuan lanjutan bon jamin berkenaan kes tangkap khalwat pada Mac lalu.
Pada 9 Mac lalu, nama Ruhanies hangat menjadi bualan hangat selepas dia dan Aliff ditangkap berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara. – UTUSAN