JAKARTA: Diva pop Indonesia, Datuk Seri Rossa, mengakui pernah terfikir untuk berkahwin dengan penyanyi, Afgan beberapa tahun lalu.
Namun begitu, Rossa menyedari hubungannya bersama penyanyi Bawalah Cintaku itu lebih akrab sebagai seorang sahabat membuatkannya melupakan hasrat untuk berkahwin sekali lagi.
“Pada awalnya saya dan Afgan memang berkawan. Cuma lama kelamaan hubungan kami menjadi semakin rapat.
“Kalau hendak dipanggil bercinta pun bukan. Afgan juga rapat dengan anak dan keluarga kami saling mengenali. Cuma kami tidak pernah terfikir ke arah perkahwinan.
“Mungkin ada masa-masanya kami berfikir untuk kahwin, tapi tindakan kami tidak mengarah ke sana,” katanya menerusi satu sesi temu ramah di rancangan audio siar Curhat Bang Denny Sumargo yang tular.
Bagaimanapun, sehingga kini, Rossa menjelasnya hubungannya dan Afgan tetap baik walaupun tidak secara rasmi bercinta.
“Akrab tapi tidak secara rasmi bercinta. Begitu-begitu sahaja. Ada beberapa tahun yang kami selalu bersama,” tambahnya.
Dalam temu ramah tersebut, Rossa turut mendedahkan dia berada di Kuala Lumpur untuk melakukan promosi lagi ketika dikabarkan menerima surat cerai daripada suaminya, Yoyo Padi Reunion pada 2009.
“Waktu itu saya di Kuala Lumpur sedang solek di belakang pentas. Peguam saya maklumkan surat cerai telah sampai ke mahkamah.
“Ketika itu saya perlu menyanyikan lagu Hati Yang Kau Sakiti. Kenapalah saya kena nyanyi lagu itu ketika semua itu terjadi,” ceritanya ketawa.
Sebelum ini, Rossa menafikan spekulasi yang menganggap hubungannya bersama Afgan hanya sekadar gimik.
Penyanyi Pudar itu juga menganggap Afgan seperti adik sendiri kerana usia yang jauh lebih muda.-UTUSAN