PETALING JAYA: Pelakon, Sathiya, 60, memerlukan dua hingga enam bulan untuk pulih daripada penyakit angin ahmar yang menyerangnya, baru-baru ini.
Menurut anaknya, Vickyneswry, 34, pemulihan pelawak yang terkenal menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu bergantung kepada rawatan yang diambil dalam tempoh berkenaan.
“Pertuturannya normal, cuma dia masih terasa kebas di bahagian kaki dan tangan.
“Menurut doktor, proses pemulihan mungkin mengambil antara dua hingga tiga bulan, bergantung kepada rawatan.
“Setakat ini, dia disarankan melakukan akupuntur dan makan ubat. Tak perlu lakukan fisioterapi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sathiya pada kelmarin dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana mengalami kebas kaki dan tangan.
Menurut Vickyneswry atau Vicky, serangan tersebut adalah kedua selepas pertama kali dialami bapanya beberapa tahun lepas.
“Bapa saya adalah penghidap darah tinggi dan kencing manis tetapi tidak pernah lupa makan ubat.
“Tapi semalam dia mengadu kebas tangan dan kaki dan segara dibawa ke klinik berdekatan sebelum dimasukkan ke HKL.
“Hasil pemeriksaan mendapati dia diserang angin ahmar,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Vickyneswry meluahkan rasa terima kasih kepada peminat dan rakan bapanya yang prihatin dengan keadaan pelakon tersebut.
“Ramai yang hubungi dia, tak kurang juga yang bertanyakan keadaannya di media sosial. semua risaukan dia.
“Keadaannya stabil dan dia ucap terima kasih kepada semua yang bertanyakan tentangnya,” jelas Vickyneswry.