Sathiya elak memandu selepas diserang strok ringan - Utusan Malaysia

Sathiya elak memandu selepas diserang strok ringan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pelawak veteran, Sathiya, 60, mendedahkan mengelak memandu kereta selepas diserang strok ringan, minggu lalu.

Sathita atau Sathia Periasamy, 60, kini hanya bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan e-hailing untuk bergerak.

“Sejak kena serangan strok, Saya tidak boleh memandu. Kereta saya letak di rumah dan anak yang guna.

“Sekarang kalau pergi kerja saya naik e-hailing,” katanya.

Sathiya berkata demikian ketika berkongsi perkembangan kesihatannya selepas dibenarkan keluar dari Hospital Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Dalam pada itu, pelakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu tersebut turut bersyukur kerana keadaan kesihatannya semakin baik dan masih kuat untuk terus bekerja.

“Saya okey dan sihat, belum mati lagi. Cuma mengalami serangan angin ahmar ringan saja.

“Sudah 40 tahun saya kerja. Selagi boleh kerja, saya kerjalah. Jika sudah tidak boleh, tiadalah.

“Anak saya dua orang sudah besar dan berkahwin. Sekarang saya kerja untuk isteri saya sahaja.

“Apa-apa izin Tuhan saya okay, Dia uji sikit sahaja. Jangan panik,” katanya yang bakal terlibat dengan sambutan kemerdekaan serta empat buah filem.

Sathiya bagaimanapun lega kerana mempunyai wang simpanan mencukupi dan tidak mengharapkan bantuan mana-mana pihak.

“Saya tidak harapkan duit sesiapa. Saya ada duit simpanan sikit untuk meneruskan hidup.

“Duit banyak mana sekali pun, tetap tiada gunanya. Selagi masih ada kudrat untuk bekerja, saya akan teruskan.

“Anak-anak pun sudah besar dan bekeluarga. Saya kini hanya perlu kerja untuk menyara isteri saya,” katanya.

Terdahulu, Sathiya diserang penyakit angin ahmar selepas mengadu kebas kaki dan tangan ketika sedang bersarapan di rumahnya.

Menurut anaknya Vickyneswry atau Vicky, serangan tersebut adalah kali kedua selepas pertama kali dialami bapanya beberapa tahun lepas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN