RUU Mufti perlu disokong semua pihak - Mufti Pahang

RUU Mufti perlu disokong semua pihak – Mufti Pahang

ASMADI MOHAMED NAIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 mesti diberi sokongan sepenuhnya oleh semua umat Islam khususnya rakyat Malaysia bagi memelihara institusi raja-raja dan mengekang elemen radikalisme dalam negara.

Mufti Pahang, Prof. Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim berkata, RUU Mufti terdapat perkara yang mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah bersumberkan aliran Al-Asyairah, Al-Maturidiah dan fiqh Mazhab Syafie dengan meraikan tiga mazhab lain.

Menurut beliau, RUU Mufti juga relevan dan penting kerana memberi fokus kepada tiga perkara antaranya semangat Persekutuan yang memartabatkan Majlis Raja-Raja sebagai institusi yang menaungi agama Islam di Malaysia.

“Oleh yang demikian, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sebagai salah satu agensi agama persekutuan, pemimpinnya iaitu muftinya mestilah mengikuti dan menghayati semangat Persekutuan yang telah utuh sekian lama sejak penubuhan negara Malaysia.

“Ini bahawa Majlis Raja-Raja merupakan penaung kepada Institusi Agama Negara dengan menyokong sebulat suara RUU Mufti ini,” katanya di dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar ketika membentangkan RUU Mufti bersama dua RUU lain berkata, bacaan kali kedua dan ketiga juga dibuat pada persidangan kali ini.

RUU Mufti bertujuan mengadakan peruntukan mengenai mufti, penentuan mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara berkaitan.

Bahagian II RUU berkenaan mencadangkan peruntukan berhubung mufti dan timbalannya, manakala Bahagian III berkaitan penubuhan serta fungsi Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Bahagian IV pula berkaitan peruntukan berhubung pengeluaran fatwa, diikuti Bahagian V mengenai penentuan arah kiblat, kesalahan dan penalti, Bahagian VI memperkatakan penubuhan serta fungsi Jawatankuasa Falak Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Bahagian VII RUU berkenaan membabitkan penubuhan dan fungsi Jawatankuasa Rukyah Hilal Wilayah-Wilayah Persekutuan, diikuti Bahagian VIII berkaitan penubuhan dan fungsi Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan dan perunding akidah serta Bahagian IX berhubung peruntukan pelbagai.

Dr. Asmadi berkata, aliran tersebut tidak jumud tetapi sebaliknya amat terbuka dan tidak bersikap mengkafir atau menyesatkan secara-senyap-senyap.

Jelasnya, terdapat pelbagai adat istiadat termasuk adat istiadat di Istana yang menjadi warisan penduduk Islam di Malaysia yang mana akhirnya membantu membentuk identiti dan jati diri umat Islam di negara ini.

Katanya, perkara tersebut hanya dapat dipertahan dengan fahaman aliran yang terbuka, tidak jumud, fleksibel dan harmoni iaitu aliran Al-Asyairah serta Al-Maturidiah.

“Buktinya, masih banyak warisan dan adat istiadat yang masih kekal di negara ini kerana aliran Al-Asyairah yang dikenali sebagai aliran paling toleransi dan progresif sejak zaman berzaman.

“Sebagai sebuah aliran yang tidak terlibat langsung dengan usul ekstremisme dan mampu mengekang fahaman-fahaman radikal di Negara ini. Sekali gus dapat menangkis ekstremisme seumpama kes di Ulu Tiram, Johor yang sanggup membunuh sesama muslim,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya