Rusuhan di Bangladesh: Rakyat Malaysia dipindahkan esok

Rusuhan di Bangladesh: Rakyat Malaysia dipindahkan esok

MOHAMAD Hasan pada sidang akhbar selepas perjumpaan bersama Persatuan Ibu Bapa Pelajar Bangladesh Malaysia di Wisma Putra, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk membawa pulang kesemua warga Malaysia yang terkandas di Bangladesh, esok susulan situasi rusuhan ganas buruk di negara berkenaan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan malahan sudah menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberikan kelulusan agar pelan evakuasi dilaksanakan.

“Pagi tadi saya telah bercakap menerusi telefon dengan beliau yang mengarahkan supaya rancangan bawa balik disegerakan,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Putra hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan sesi pertemuan khas dengan sekumpulan ibu bapa pelajar Malaysia di negara itu selama sejam yang diketuai Mejar Jeneral (Bersara) Nubli Hashim.

Ketegangan di Bangladesh tercetus ekoran bantahan ribuan pelajar terhadap keputusan Mahkamah Agung yang menetapkan kuota pekerjaan sektor kerajaan pada 5 Jun lalu.

Demonstrasi besar-besaran mula tercetus di seluruh negara Asia itu sejak 1 Julai lalu yang menyaksikan lebih 150 penunjuk perasaan maut manakala ribuan lagi mangsa cedera.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Wisma Putra setakat ini telah berjaya mengesan 139 pelajar di Bangladesh dengan sejumlah 15 orang selamat pulang ke tanah air lebih awal.

“Paling ramai di Mymensingh Medical College (MMC) yang yang merekodkan 55 pelajar kita dan terletak lebih 113 kilometer dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka,” jelasnya.

Sementara itu, cuma ada seorang pelajar yang menuntut di Chittagong, iaitu paling jauh dari ibu negara tersebut manakala kira-kira 58 warga Malaysia dikenal pasti bukan pelajar.

Susulan usaha evakuasi tersebut, beliau sudah menghubungi pihak AirAsia dan meminta operator itu menyediakan pesawat model Airbus A330 dengan berkapasiti 380 penumpang.

Kapal terbang saiz lebar itu jelasnya, dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal di ibu kota Dhaka pada pukul 10 pagi esok bagi membawa mereka.

Penggunaan pesawat berkenaan tegas Mohamad, disebabkan ada warga Malaysia tidak mendaftar dengan pihak suruhanjaya tinggi yang ketika ini sudah merekodkan 192 orang.

“Difahamkan ada 10 juruterbang kita yang bekerja dengan pelbagai syarikat penerbangan asing dengan keluarga mereka di Bangladesh turut ingin pulang ke tanah air,” kata beliau.

Mohamad juga menyangkal laporan pihak tertentu kononnya lambat bertindak malahan menjelaskan bahawa beliau sendiri berhubung dengan misi Malaysia sejak hari pertama.

Pada masa sama ujarnya, pihak Wisma Putra berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara bagi merangka pelbagai pelan kecemasan yang berdasarkan situasi semasa di sana.

Operasi pemindahan itu juga kata beliau, dilaksanakan ketika perintah berkurung kerana suasana perjalanan diiringi pasukan keselamatan lebih selamat menuju lapangan terbang.

Ditanya adakah rakyat negara lain memohon bagi menyertai evakuasi tersebut, beliau memaklumkan bahawa setakat ini tiada mana-mana permintaan diterima Wisma Putra. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN