PUTRAJAYA: Pertubuhan Amal Uncle Kentang membuka unit kedua Rumah RM1 di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, khusus buat pesakit kanser yang menerima rawatan di Institut Kanser Negara (IKN).
Rumah RM1 yang ditawarkan itu adalah sebuah unit Pangsapuri di tingkat 8, blok D1, Pangsapuri Putra Harmoni, Presint 9, di sini.
Pengasas Pertubuhan Amal Uncle Kentang, Chee Heng Kuan atau Uncle Kentang berkata, unit itu ditawarkan percuma untuk pesakit kanser yang mendapat rawatan di IKN.
Beliau berkata, unit ini mula dibuka hari ini dan khusus buat pesakit kanser bukan Islam, manakala pesakit muslim boleh menikmati kemudahan sama yang ditawarkan di Projek Perumahan Penjawat Awam (PPAM) Pudina, Presint 17, di sini.
“Kami dapati ramai pesakit kanser sukar menampung kos penginapan jika ingin mendapatkan rawatan di IKN, justeru Rumah RM1 boleh memenuhi keperluan itu.
“Rumah RM1 ini berada berdekatan dengan IKN dan Hospital Putrajaya (HPJ) dan pesakit boleh menetap seberapa lama sementara mendapatkan rawatan.
“Sebenarnya mereka tak perlu bayar apa-apa pun sebab Rumah RM1 ini adalah satu jenama sahaja,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Rumah RM1 di sini, hari ini.
Katanya, pesakit yang ingin menikmati kemudahan penginapan ini boleh berhubung dengan Jabatan Sosial IKN.
Uncle Kentang berkata, beliau berterima kasih kepada seorang wanita warga emas berusia 72 tahun yang sudi menyerahkan unit pangsapuri ini untuk diuruskan pihaknya.
Menurutnya, wanita itu menyerahkan rumah ini dengan kontrak selama 10 tahun pada kadar sewa sebanyak RM12 setahun serta RM120 untuk tempoh 10 tahun.
“Dia (penderma rumah) sudah pencen dan tanya pada saya apa boleh disumbangkan untuk amal jariah. Saya cadangkan kepadanya untuk cari rumah dekat IKN. Jadi dia beli unit pangsapuri ini dan serahkan kepada kami,” katanya.
Katanya, Rumah RM1 ini ada tiga bilik selain turut dilengkapi kemudahan dapur, mesin basuh, peti ais, jalur lebar, penghawa dingin dan bekalan makanan.
Setakat ini, katanya, pihaknya sudah mempunyai 10 unit Rumah RM1 membabitkan lima unit kediaman dan lima unit bilik hotel di sekitar Lembah Kelang.
Dalam pada itu, Uncle Kentang berkata, pihaknya merancang untuk membuka sebuah pusat cuci luka di Puchong, Selangor di mana pesakit di kawasan berdekatan tidak lagi perlu ke klinik dan menanggung kos pengangkutan.
“Saya dapati kos cuci luka di klinik kesihatan hanya RM5 tapi kos pengangkutan ulang alik ke tempat itu yang mahal dan membebankan,” katanya. – UTUSAN