RM303.9 juta ketirisan cukai berjaya diselamat Kastam

RM303.9 juta ketirisan cukai berjaya diselamat Kastam

ANIS Rizana Mohd Zainudin merasmikan Majlis Pelancaran AViP di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya membanteras 3,012 kes penyeludupan bagi tempoh Januari hingga Mei lalu melibatkan cukai yang berjaya diselamatkan sebanyak RM303.9 juta.

Ketua Pengarahnya, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, kes berkenaan membabitkan aktiviti penyeludupan dadah, rokok, minuman keras dan mercun.

Beliau berkata, biarpun jabatan ini terpalit pelbagai isu akhir-akhir ini, namun ia tidak mematahkan semangat dan jati diri pegawai kastam dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Walapun diasak bertubi-tubi, kita tetap utuh dan teguh dan lagi banyak asakan lagi kita bertambah kuat.

“Setakat ini, banyak insiaitif diperkenalkan bagi memastikan hasil negara tidak tiris dan keselamatan di pintu keluar masuk sempadan negara kekal selamat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Audit Verifikasi Pematuhan (AVP) di sini, hari ini.

Katanya, antara inisiatif dilaksanakan termasuk transaksi dalam talian dan pengemaskinian maklumat berkaitan dasar percukaian bagi mudahkan entiti perniagaan dan orang awam.

Anis berkata, jabatan juga mengambil langkah memodenkan prosedur pelepasan kastam dengan menggunakan mesin pengimbas dilengkapi teknologi kecerdasan pintar (AI) bagi mempercepatkan pelepasan kargo.

Malah, katanya, jabatan juga membangunkan sistem baharu seperti sistem perkastaman dan sistem dokumen sokongan import dan eksport bagi pelancaran pelepasan perdagangan.

“Selain itu, kami juga meningkatkan pengurusan risiko, berkongsi maklumat perisikan dan menjalinkan kerjasama antarabangsa bagi melindungi keselamatan dan usaha perangi jenayah rentas sempadan,” katanya.

Mengulas mengenai AVP, Anis berkata, AVP adalah strategi audit baharu JKDM bagi tempoh 2024-2028 yang memberi tumpuan untuk mendekati sebanyak mungkin entiti pemiegaan khususnya yang telah berdaftar dan berlesen dengan jabatan berdasarkan penarafan risiko.

Katanya, bagi pendaftar, pelesen, pengimport, pengeksport yang baharu pula, AVP adalah strategi audit yang lebih bersifat membimbing dan memberi nasihat.

“Saya menyeru agar setiap entiti perniagaan melaksanakan tanggungjawab dengan mengikrar dan membayar cukai dengan betul supaya dapat mengurangkan risiko ketirisan hasil sekali gus dapat meningkatkan hasil negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya