Risau makanan terputus, kampus ditutup sebab rusuhan berterusan

Risau makanan terputus, kampus ditutup sebab rusuhan berterusan

MOHAMAD Hasan berbual bersama Persatuan Ibu Bapa Pelajar Bangladesh Malaysia untuk membawa pulang pelajar-pelajar Malaysia yang terkandas di Bangladesh, di Wisma Putra Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ramai pelajar Malaysia di Bangladesh mengadu terputus bekalan makanan di asrama selain bimbang keselamatan mereka ekoran rusuhan ganas di negara tersebut.

Perkara berkenaan didedahkan wakil ibu bapa kumpulan penuntut terbabit, Mejar Jeneral (Bersara) Nubli Hashim, 61, ketika ditemui selepas sidang akhbar di Wisma Putra hari ini.

“Anak perempuan saya memaklumkan bahawa mereka tiada stok makanan lagi dan yang dijual di kedai runcit pula jika ada memang terhad serta harga pula amat mahal,” katanya selepas beliau dan beberapa ibu bapa yang anaknya masih tersekat di Bangladesh hadir mengadakan perjumpaan dengan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, di sini.

Pada sesi yang berlangsung sejam itu, mereka bersyukur apabila dimaklumkan bahawa Wisma Putra bakal menggerakkan misi evakuasi esok untuk warganegara Malaysia di sana.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di ibu kota Dhaka telah mengenal pasti sejumlah 192 rakyat negara ini di seluruh negara Asia Selatan itu termasuk baki 124 pelajar yang terkandas.

Mengulas lanjut, Nubli yang menetap di Nilai, Negeri Sembilan berkata, beliau tidak dapat tidur sejak minggu lalu ekoran situasi teruk di Bangladesh yang menakutkan banyak pihak.

“Saya boleh berhubung sekejap sahaja sebelum dengar bunyi angin di telefon cukup teruk selepas kerajaan negara itu memutuskan talian komunikasi termasuk internet,” katanya.

Paling sedih, beliau diberitahu, banyak premis runcit ditutup dan jika ada cuma membuka satu pintu yang membimbangkan untuk pelanggan wanita sekiranya berlaku kecemasan.

Pada masa yang sama anaknya, Siti Naquiah, 29, pelajar tahun akhir jurusan veterinar di Bangladesh Agricultural University cuba berusaha untuk pulang dengan rakan-rakan lain.

Mereka namun gagal apabila van yang disewa tidak dapat menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal di ibu kota Dhaka kerana sekatan oleh pihak keselamatan.

Nubli yang baru bersara daripada perkhidmatan tentera pada akhir tahun lalu juga cemas apabila diberitahu anaknya yang semua operator penerbangan membatalkan tiket dijual.

“Lebih perit ketika waktu perintah berkurung, pelajar ini tidak dapat beli tambah nilai untuk prabayar telefon bimbit dan terpaksa berjimat untuk elak kredit cepat habis,” jelasnya.

Sementara itu, seorang pelajar, Ahmad Wafiq Aqil Kamarul, 23, bersyukur kerana sempat balik ke tanah air beberapa hari sebelum berlaku siri kekacauan terburuk di Bangladesh.

Ujarnya, tunjuk perasaan memang lazim di negara itu setiap bulan atas pelbagai isu tetapi kali ini lebih teruk dengan kolej juga ditutup serta hanya tinggal para pelajar luar negara.

Katanya yang menuntut dalam jurusan perubatan di Mymensingh Medical College, tiada penuntut tempatan tinggal di asrama dengan ramai terpaksa berpindah di rumah sewa.

Situasi tersebut disebabkan tiada kedai runcit dalam kawasan kolej namun mujur pihak kedutaan difahamkan kemudian datang membawa bekalan makanan bagi pelajar Malaysia.

“Alhamdulillah, saya selamat meskipun ada risau ketika keluar dari kolej apabila mengambil masa empat jam menuju lapangan terbang,” katanya yang tinggal di Pasir Putih, Kelantan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya