Remaja ditahan cuba seludup dadah seberat 15.75 kg

Remaja ditahan cuba seludup dadah seberat 15.75 kg

AZMAN Shari'at (dua kiri) menunjukkan antara barang rampasan dadah jenis Methamphetamine pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis KLIA, Sepang di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan polis selepas cuba menyeludup dadah ke Sarawak menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.24 malam di Balai Perlepasan KLIA Terminal 2 itu, suspek ditahan bersama dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran berat 15.75 kg yang bernilai RM504,000.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata, suspek ditahan susulan imbasan terhadap kotak makanan dibawa yang memaparkan imej mencurigakan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut kemudian menemui 15 plastik bungkusan berwarna hijau yang ditulis ‘Qing Shang’ dan turut diletakkan bersama bungkusan makanan ringan yang lain.

“Semakan mendapati, suspek akan berlepas ke Sarawak pada hari sama. Suspek juga pertama kali datang ke Kuala Lumpur sehari sebelum kejadian semata-mata mahu mendapatkan bekalan dadah itu.

“Modus operandi digunakan suspek adalah menyembunyikan dadah dalam kotak berisi makanan ringan selain menggunakan perkhidmatan ‘self check-in’ yang dianggap sukar dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga esok bagi membantu siasatan.

Azman berkata, semakan rekod mendapati, suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkait kes dadah.

Menurutnya, siasatan turut dilakukan bagi mengesan sama ada suspek hanya bertindak sebagai keldai dadah atau sebahagian daripada sindiket penyeludupan dadah.

“Suspek juga mengakui dibayar upah RM3,000 bagi membawa dadah berkenaan. Kita juga percaya dadah yang dibawa itu diperolehi dari negara jiran,” katanya.

Katanya, pihaknya juga telah mematahkan tujuh kes cubaan menyeludup dadah menerusi KLIA sejak awal tahun sehingga hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN