Puteri UMNO Kangar angkat isu pedofil, lakukan saringan - Utusan Malaysia

Puteri UMNO Kangar angkat isu pedofil, lakukan saringan

NUR Fathihah Halim.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Puteri UMNO Bahagian Kangar memandang serius isu pedofil yang semakin membimbangkan seterusnya mencadangkan agar saringan terhadap penjawatan awam berkaitan kanan-kanak dilaksanakan oleh kerajaan.

Ketua Penerangan Puteri UMNO Bahagian Kangar, Nur Fathihah Halim yang membentangkan usul tersebut dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kangar semalam berkata, isu pedofil terus membimbangkan apabila sebanyak 2,722 kes telah direkodkan dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.

Katanya, kerajaan digesa melakukan saringan buat penjawatan awam berkaitan kanak-kanak ini dengan turut menyemak portal atau laman sesawang yang kerap dilayari mereka.

“Kita mahu isu pedofil diangkat secara lebih serius yang jika tidak dibendung akan memberi kesan lebih serius.

“Selain itu, agansi-agensi berkaitan seperti Kementerian Pendidikan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu bekerjasama membendung isu pedofil,” katanya.

Difahamkan, Puteri UMNO Bahagian Kangar juga menjadi satu-satu di bahagian yang mengangkatkan isu berkenaan sekali gus menarik perhatian agar masalah pedofil berkenaan tidak boleh dipandang ringan.

Pada 23 Mac 2023, Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan kepada Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) termasuklah bagi menggantikan istilah ‘pornografi kanak-kanak’ dengan ‘bahan penganiayaan seksual kanak-kanak’, selaras dengan global standards; kedua, untuk mengadakan peruntukan kesalahan persembahan kanak-kanak yang berunsur seksual; dan ketiga bagi mengadakan peruntukan berkenaan dengan perintah pampasan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, kerajaan sentiasa menambah baik perundangan sedia ada termasuk Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 yang dipinda untuk mengadakan peruntukan bagi kedua-dua peruntukan substantif dan peruntukan tatacara mengenai keterangan saksi kanak-kanak dan Akta 676 akan menjadi perundangan utama yang memberikan tumpuan mengenai keterangan saksi kanak-kanak.

Kata beliau, usaha tersebut membuka ruang bagi saksi kanak-kanak untuk memberikan keterangan dalam keadaan yang lebih kondusif kepada keperluan mereka, lantas mengurangkan trauma yang dihadapi.

Ujar Azalina, pindaan-pindaan yang dibuat ini bukanlah satu titik nokhtah kepada reformasi undang-undang berhubung dengan penglibatan kanak-kanak dalam sistem keadilan negara.

Sementara itu, Nur Fathihah berkata, pihaknya menyokong terhadap pindaan tersebut demi kepentingan kanak-kanak.

Dalam pada itu, Puteri UMNO turut membentangkan usul berkaitan isu Raja, Agama dan Kaum (3R) dengan menggesa kerajaan melakukan penguatkuasaan lebih tegas dalam membendung isu 3R yang semakin membimbangkan tanpa mengira parti-parti politik.

Selain itu, katanya, kontrak sosial, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara perlu terus dijadikan sebagai prinsip dan panduan hidup masyarakat majmuk di negara ini.

“Pemimpin masyarakat di semua peringkat perlu menggerakkan aktiviti bagi terus menonjolkan kepelbagaian dan keunikan setiap etnik di negara ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN