Sebanyak 60 program menarik menanti pengunjung yang berkunjung ke Pusat Sains Negara (PSN) sepanjang tahun.
Pengarah PSN, Mohammad Fuad Rahman berkata, program yang dianjurkan oleh pihaknya terbahagi kepada empat program iaitu program awam seperti pertunjukkan sains, program khas khususnya pada waktu cuti sekolah yang berbentuk karnival seperti ekplorasi sains untuk menarik minat pelajar, program untuk belajar dan program latihan kepada guru-guru.
Katanya, penganjuran itu untuk menarik minat pengunjung untuk terus datang dan mempelajari sains dengan lebih mendalam dalam cara yang lebih interaktif dan menarik.
“Dalam usaha untuk membawa minat pelajar dengan lebih mendalam, PSN juga telah mengadakan Pertandingan Robot Tempur Malaysia yang telah dianjurkan sebanyak tujuh kali sejak tahun 2013 hingga 2023.
Tambahnya, tujuan utama bagi pertandingan itu ialah untuk memperkasa bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) serta memupuk minat generasi muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“PSN juga telah menawarkan aktiviti baharu untuk kekal menjadi tumpuan orang ramai seperti Galeri pameran ‘Obskura XR’ yang merupakan pameran berkonsepkan didik hibur yang bertemakan seni sains digital untuk mencabar kecerdasan minda fizikal.
“Pameran ini terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu Taman Digital dan Dunia Fantasi yang menempatkan tujuh zon pameran yang mengadaptasi adaptasi teknologi digital realiti terimbuh (AR), realiti maya (VR) dan pemetaan tiga dimensi (3D),” katanya.
Selain itu, antara tarikan terbaru di PSN adalah Distrik Teknologi yang telah dibuka pada Mac tahun lalu yang menggunakan integrasi teknologi STI selari dengan konsep Revolusi Industri 4.0.
“Pameran Pusat Green Guardian yang menggunakan konsep pembelajaran yang berkongsi maklumat mengenai amalan hidup hijau melalui video dan kandungan interaktif turut menanti pengunjung,” katanya.
Sehingga Mei tahun ini, PSN telah mencatat lebih 141,033 pengunjung termasuk cawangannya di Alor Setar, Kedah.
Pengunjung boleh mendapatkan tiket dengan harga dewasa sebanyak RM6 dan kanak-kanak RM3. – UTUSAN