DHAKA: Mahkamah Agung Bangladesh membatalkan kuota pekerjaan sektor kerajaan susulan tunjuk perasaan ganas di Ibu negara ini yang menyaksikan lebih 130 maut dalam tempoh kurang seminggu.
Dalam keputusan yang diumumkan petang semalam, sebanyak 93 peratus peluang kerja dibuat berdasarkan merit, sementara dua peratus lagi diperuntukkan untuk etnik minoriti dan orang kurang upaya.
Menurut laporan Sky News, Mahkamah Agung juga mengurangkan kuota khas untuk veteran perang kepada hanya lima peratus berkuat kuasa serta merta.
Sebelum ini, Dhaka memperuntukkan 30 peratus kuota pekerjaan dalam kerajaan untuk ahli keluarga bekas tentera yang terlibat dalam Perang Menuntut Kemerdekaan 1971.
Golongan mahasiswa menyifatkan polisi itu adalah satu diskriminasi yang memberi kelebihan kepada kroni Parti Pemerintah, Liga Awami.
Keputusan itu diharap dalam mengembalikan keamanan di ibu negara selepas tunjuk perasaan oleh kumpulan pelajar berkenaan berlarutan hampir seminggu yang turut mengakibatkan ribuan yang lain cedera.
Sepanjang protes ganas berlangsung, universiti terpaksa ditutup, kemudahan internet tergendala dan perintah berkurung dikuatkuasakan.
Kerajaan ditadbir Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, membatalkan sistem kuota pada 2018, namun mahkamah rendah mengembalikannya pada bulan lalu. – AGENSI