Projek RoL akan diteruskan - Zaliha

Projek RoL akan diteruskan – Zaliha

ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan tetap meneruskan Projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life (RoL) yang kini berbaki kira-kira 19 peratus sahaja lagi untuk disiapkan sepenuhnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, adalah menjadi satu kerugian kepada negara sekiranya projek berkenaan tidak dilengkapkan seperti yang telah dirancang.

“Sebenarnya saya sudah jawab perkara ini di Parlimen, kita akan teruskan sebab hanya tinggal 19 peratus sahaja dan ada juga sebenarnya yang saya nyatakan 81 peratus projek ini telah berjalan dengan baik.

“Bagi saya ini satu kerugian kalau kita tidak meneruskan (projek) sebab kita tahu kalau projek RoL ini siap, ia akan memberikan pulangan yang besar kepada kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Persekutuan ke SUKMA XXI Sarawak 2024 dan Pelancaran Logo Baharu Majlis Sukan Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Sebelum ini, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendedahkan projek pemuliharaan sungai dalam kawasan bandar yang paling kompleks dengan kos tertinggi pernah dilaksanakan di Malaysia, iaitu RM4.363 bilion itu dijangka tidak berjaya disiapkan mengikut tempoh ditetapkan tahun ini walaupun RM3.915 bilion telah dibelanjakan.

Menurut laporan itu, hingga Julai tahun lalu lapan projek di bawah RoL masih dalam pelaksanaan dengan kemajuan di tapak antara 21 hingga 97.3 peratus, manakala kontraktor sebelum ini, belum dilantik sementara 12 projek lagi masih belum dimulakan.

Analisis audit turut mendapati hanya 79.4 peratus kerja pengindahan sungai disiapkan dan hanya 50 (16.9 peratus) daripada 296 loji rawatan kumbahan berjaya dirasionalisasi atau dinaik taraf.

Tambah beliau, projek RoL berkenaan akan diteruskan seperti yang dirancang dengan menggunakan peruntukan sedia ada.

“Yang mengatakan wang diperuntukkan sudah habis, itu tidak benar. Masih ada lagi sebahagiannya dan kita akan gunakan wang sedia ada untuk meneruskan projek yang dirancang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN