PUTRAJAYA: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menerima Anugerah Kepimpinan Teknologi daripada Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).
Menurut Abang Johari, anugerah yang diterima itu merupakan usaha kolektif pihaknya dan juga pasukan beliau di Sarawak yang bekerjasama melalui program-program transformasi.
“Saya ucap setinggi penghargaan kepada MBOT dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Chang Lih Kang) kerana memberikan penganugerahan ini dan ini adalah untuk orang Sarawak, memandangkan saya Premier Sarawak.
“(Penganugerahan ini) bukan sebagai individu tetapi lebih kepada usaha kolektif dan saya mahu rakyat Sarawak untuk menyesuaikan diri, mengetahui dan didedahkan dengan teknologi terkini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian MBOT Experts Network in Technology, Innovation and Cooperative Event (ENTICE 24) di sini hari ini.
Anugerah itu disampaikan Lih Kang dengan disaksikan Presiden MBOT, Prof Datuk Dr. Siti Hamisah Tapsir.
Siti Hamisah ketika mengumumkan anugerah itu berkata, di bawah kepimpinan Abang Johari, Sarawak mengorak langkah penting dalam sektor hidrogen hijau dengan membentuk perkongsian untuk projek, termasuk pembangunan loji hidrogen berskala besar.
Kata beliau, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk beralih kepada sumber tenaga mampan dan mengurangkan pelepasan karbon.
“Melalui inisiatif seperti pembangunan bandar pintar, pengembangan capaian internet berkelajuan tinggi dan promosi literasi digital beliau telah memastikan Sarawak menjadi hab untuk inovasi teknologi, menarik pelaburan dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan,” ujarnya. – UTUSAN