Politik kebencian di negara ini terlalu menebal - Anwar

Politik kebencian di negara ini terlalu menebal – Anwar

ANWAR Ibrahim ketika hadir pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan suasana politik negara dipenuhi kebencian yang terlalu menebal walaupun keputusan dasar kerajaan yang dilaksanakan adalah demi kepentingan rakyat. 

Perdana Menteri berkata, adalah tidak mudah untuk melaksanakan tugas itu, namun beliau tidak mempedulikan sebarang kritikan, kecaman termasuk mencacinya secara peribadi.

“Lihat di media sosial pembangkang termasuk kempen (pilihan raya kecil) di Sungai bakap, apa yang dia (pembangkang) tidak tulis. Dajjal, ejen Israel, yahudi, jual negara ini kepada China… semua dia sebut. Saya tak peduli kerana saya fikir saya punyai tugas.  

“Tidak ambil gaji dihina, banteras rasuah dihina, baik dengan Hamas pun dihina. Dengan Black Rock pun dia kata ejen Yahudi. Fakta tidak sama sekali dipedulikan, yang dilontarkan adalah kebencian,” katanya ketika berucap dalam majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan tidak mempunyai pilihan untuk memastikan hasil dan kekayaan negara berkembang. 

Meskipun dikritik, tegasnya, kerajaan pimpinannya akan terus bekerja untuk memastikan martabat negara diangkat ke tahap yang sepatutnya. 

“Adakah (kritikan) ini harus mengganggu kita? Tidak. Dua hari sudah saya umumkan matrikulasi, itu pun jadi isu politik. Saudara, saya tidak ada pilihan. Kita pegang amanah,” katanya. 

Dalam pada itu, Anwar berkata, dalam usaha membanteras rasuah dan mengelak ketirisan, beliau menggesa semua badan penguatkuasaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kastam berusaha memastikan tiada kebocoran hasil negara berlaku. 

“Kita susah payah buat penyasaran subsidi diesel, tapi bidang penguatkuasaan kebocoran masih berterusan, ia tidak adil. Ini satu mengundang malapetaka kepada negara apabila langkah penyasaran subsidi memberi kebimbangan kepada rakyat, tapi jalan penguatkuasaan itu mengambil jalan mudah.

 “Ini (penjimatan subsidi) akan kembali kepada rakyat. Sebab itu saya mengambil sikap keras terhadap rasuah. pimpinan negara, menteri-menteri tak boleh campur dalam urusan kontrak dan tender, rundingan terus semua dibatalkan. 

“Ini tak semestinya popular di kalangan atasan sebab kita sudah biasa dengan budaya begitu rupa. Rasuah sudah menjadi endemik di negara ini kecuali kita menggunakan sumber sedia ada dan mengambil sikap komitmen untuk memerangi jenayah ini,” katanya.

Pada masa sama, Anwar berkata, beliau mempunyai keyakinan tinggi bahawa Malaysia mempunyai potensi untuk terus berdaya saing. 

“Saya mewakili generasi sudah tua, tetapi punya cita- cita yang sangat tinggi untuk menjamin generasi akan datang agar negara ini diangkat martabatnya. 

“Sebagai orang tua saya hanya mampu menyeru kepada saudara dan anak-anak untuk melakukan sesuatu untuk menentukan kita terangkat ke peringkat ini. Itu saja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya