Platform media sosial lebih tegas tanggani isu jenayah dalam talian

Platform media sosial perlu lebih tegas tangani jenayah dalam talian

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan mahu semua platform media sosial mematuhi undang-undang sedia ada di negara ini terutama dalam menurunkan segera kandungan yang boleh memudaratkan rakyat.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Jemaah Menteri juga mahu isu jenayah di media sosial ditangani segera termasuk memantapkan soal aspek siasatan dan pendakwaan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sudah diarahkan untuk meneliti perkara itu.

“Kerajaan melihat masalah scam (penipuan), buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak (pedofilia) antara tiga perkara yang membelenggu rakyat Malaysia ketika ini.

“Tiga ancaman ini adalah perkara yang kita lihat tidak boleh dibenarkan berlarutan dan ini antara sebab mengapa MCMC telah keluarkan surat arahan kepada sejumlah platform media sosial untuk mereka beri maklum balas berkaitan isu itu,” katanya dalam sidang akhbar pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Katanya, menurut pemantauan MCMC, setiap platform media sosial mempunyai tahap pematuhan yang berbeza dengan ada yang lebih pantas dan akur dan ada yang langsung tidak akur dan sangat lewat untuk menjawab pihak berkuasa.

“Sebagai contoh Facebook (FB) mempunyai 26.5 juta pengguna berdaftar di Malaysia dan kadar kepatuhannya (reaksi terhadap aduan) sekitar 85 peratus, Instagram (88 peratus), WhatsApp (79 peratus).

“Berbeza dengan TikTok, kadar pematuhannya pula sekitar hanya 76 peratus, Telegram (63 peratus) dan paling corot adalah platform X (Twitter) adalah 25 peratus,” katanya.

Katanya, setiap platform ini ada masalah jenayah dalam talian atau kandungan-kandungan yang boleh membahayakan keselamatan rakyat.

Jelasnya lagi, berdasarkan siasatan PDRM, kerugian daripada penipuan dalam talian di FB berbeza mengikut jenis scam dan ia membabitkan kerugian antara RM8 juta (love scam) hingga RM132 juta bagi pelaburan tak wujud.

Fahmi berkata, situasi di FB itu menjadikan platform itu terus disalahgunakan sejumlah penjenayah untuk memangsakan rakyat dan mencuri wang simpanan rakyat.

Selain itu, katanya, platform TikTok pula kebiasaannya dikaitkan dengan ancaman buli siber selain penggunaan akaun palsu untuk penipuan dan buli siber.

“Kalau kita lihat, Telegram pula banyak dikaitkan dengan scam, judi dalam talian, sebaran maklumat peribadi dan sensitif dan cetak rompak.

“Kami dapati Telegram tidak lakukan apa-apa tindakan, atau sangat lewat dan sangat lembab untuk ambil tindakan tentang perkara tersebut.

“Di platform X pula, ia banyak dikaitkan dengan isu buli siber dan yang timbul sekarang ialah isu pornografi. Ketiga-tiga masalah ini secara umum memberi kesan negatif kepada rakyat terutama mangsa,” katanya.

Sementara itu, Fahmi mengesahkan akan ke Singapura Ahad ini untuk bertemu semua wakil platform media sosial bagi membincangkan dan menyatakan pendirian tegas Malaysia terhadap isu yang membelenggu rakyat Malaysia ketika ini.

Katanya, META perlu ambil tindakan lebih proaktif menggunakan kecerdasan pintar (AI) sekali gus mematikan usaha pihak yang menyalah guna platform di bawah META untuk tujuan scam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN