Pilih politeknik kerana gabungan pendidikan teori, praktikal

Pilih politeknik kerana gabungan pendidikan teori, praktikal

MUHAMMAD Johari Sahari memeluk ibunya, Aminah Aripin sambil diperhatikan isterinya, Nur Raihan Sahabudin pada Majlis Konvokesyen Ke-8 PMJB di Hotel KSL & Resort, Johor Bahru semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Graduan terbaik Majlis Konvokesyen Ke-8 Politeknik Metro Johor Bahru (PMJB) memilih menyam­bung pengajian di institusi pe­ngajian tinggi (IPT) itu kerana ia menggabungkan pembelajaran secara teori dan praktikal.

Muhammad Johari Sahari, 35, memberitahu, sembilan bulan daripada tempoh tiga tahun pengajiannya di PMJB dihabiskan dengan menimba pengalaman dengan menjalani latihan praktikal di syarikat industri logistik bagi melengkapkan ilmu dengan kemahiran yang diperlukan selepas mengikuti pengajian dalam Diploma Logistik dan Rantaian Bekalan.

“Di politeknik, kita bukan sahaja didedahkan dengan ilmu pengetahuan akademik, malah juga kemahiran. Sepanjang tempoh praktikal itu saya dapat pelajari selok-belok bidang logistik ini, termasuk import dan eksport.

“Alhamdulillah, saya berjaya habiskan pengajian dan turut memperoleh keputusan yang baik, iaitu Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.74, sekali gus menerima Anugerah Akademik dan Kokurikulum dan Anugerah Pengarah PMJB,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau yang kini bertugas sebagai Koperal Penjara di Simpang Renggam turut memberitahu, usia bukan halangan bagi seseorang individu melanjutkan pengajian.

“Semasa bersekolah dahulu, saya amat meminati bidang kejuruteraan, namun tidak berpeluang menyambung pengajian ketika itu kerana keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kurang memberangsangkan.

“Jadi, saya bekerja dahulu sebagai kakitangan kerajaan, namun hasrat untuk menyambung pengajian tidak pernah terhenti dan pada tahun 2021 saya menyambung pengajian peringkat diploma di PMJB.

“Insya-Allah saya berhasrat untuk terus menyambung pengajian je peringkat lebih tinggi selepas ini,” kata anak bongsu daripada tujuh beradik itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN