SHAH ALAM: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 13 Shah Alam mengambil inisiatif mengumpul dana bagi memperkasa Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sekolah berkenaan.
Pengumpulan dana itu dibuat melalui penganjuran program seperti jualan makanan yang dilakukan sendiri oleh ibu bapa mempunyai anak-anak mengikuti kelas PPKI di sana.
Menurut Yang Dipertua PIBG sekolah tersebut, Zulrushdi Mohamed, ibu bapa murid-murid PPKI juga memberi kerjasama penuh untuk menjayakan program yang memberi manfaat kepada anak-anak mereka.
“Sebenarnya sejak beberapa bulan lalu kami mengadakan program mengumpul dana seperti Gerai Jualan PPKI hari ini.
“Contohnya hari ini Ibu bapa anak-anak kelas PPKI membuka gerai dan menjual segala jenis kuih-muih seperti lempeng, makaroni,nasi lemak,air balang dan lain-lain makanan,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Beliau menambah, program tersebut bukan sahaja fokus mengumpul dana tetapi untuk mengeratkan hubungan kesemua ahli PIBG di sekolah tersebut.
Sementara itu Pengerusi PPKI SK Seksyen 13, Dr. Mohd. Hafiz Mohd. Noh memberitahu, pihaknya terharu dengan sokongan ibu bapa PPKI dan kelas aliran perdana pada program tersebut.
“Kita akan menggunakan dana yang terkumpul untuk memastikan kesemua murid-murid kelas PPKI terus mendapat manfaat dari aspek kemahiran hidup dan akademik.
“Sokongan ibu bapa amat membanggakan dan kutipan hasil jualan hari ini akan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk anak-anak kelas PPKI dari masa ke semasa,” ujarnya. – UTUSAN