Pernah terdetik, adakah nyawa saya berakhir di Tanah Suci - Alyah - Utusan Malaysia

Pernah terdetik, adakah nyawa saya berakhir di Tanah Suci – Alyah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berpeluang mengerjakan ibadah Haji di Tanah Suci selama 23 hari, kepulangannya ke tanah air pada 4 Julai lalu nampaknya tidak begitu baik sementelah diuji dengan batuk yang berpanjangan.

Bahkan ketika dihubungi Utusan Malaysia, penyanyi ini mengakui, sakit yang dialaminya itu sudah mula menerjah sejak kali pertama kakinya melangkah ke bumi para anbia tersebut.

Menurut Alyah, keadaan itu baginya luar biasa kerana sebelum ini, meskipun pernah mengerjakan Umrah, dia tidak pernah jatuh sakit yang berlarutan.

“Rasanya, pengalaman menjalani ibadah Haji ini tak sama dengan umrah yang pernah saya buat sebelum ini. Saya akui, mungkin diuji. Batuk-batuk yang saya alami, pada awalnya saya sangka cuma biasa sahaja. Tidak mahu terlalu ‘melayan’ sangat, jadi saya cuma buat tak tahu.

“Tetapi, tak pernah lagi saya alami keadaan cuaca yang mencecah sehingga 53 darjah celsius. Ini paling tinggi setakat ini dan keadaan orang yang terlalu ramai membuatkan saya akhirnya jatuh sakit.

“Banyak kematian berlaku di sana. Paling banyak orang meninggal sebab strok haba. Keadaan itu sebenarnya agak merisaukan saya,”katanya.

Akui Alyah, batuk yang dirasakan cuma biasa-biasa itu bagaimanapun mula mengakibatkan kesakitan di bahagian dada apabila dia mendakwa terasa sakit mencucuk di bahagian rusuk.

Bagaimanapun, dalam keadaan begitu, apa yang berada di fikiran Alyah hanyalah untuk mencuba menyempurnakan ibadah ini dengan baik.

“Ada satu ketika ketika berada di Mekah, lepas tunai Haji, saya dapat bilik hotel sendiri dan tak perlu duduk dengan jemaah lain memandangkan saya pun tak sihat. Tetapi saya ada pelawa Ustazah Hasni untuk duduk dengan saya.

“Masa itu, sakit yang dirasakan teramat sangat. Tulang rusuk kiri san kanan saya seakan tak boleh bergerak. Jadi, saya terpaksa tidur dalam keadaan duduk dan bersandar di katil. Tak boleh langsung tidur normal.

“Masa itulah, sempat terdetik di hati, adakah nyawa aku akan berakhir di sini? Macam-macam yang saya fikirkan dan semuanya menimbulkan keinsafan diri.

“Pada masa yang sama, suami saya (Datuk Ramli MS) nasihatkan, jika saya dah tak mampu bertahan, lebih baik pulang sahaja dan dapatkan rawatan di Malaysia,”katanya.

Kata Alyah, selama ini, dia juga seperti orang lain, pernah mendengar kisah jemaah atau orang Islam yang memasang hajat jika berpeluang meninggal dunia di Tanah Suci.

“Siapa yang tak mahu meninggal dunia di sana, tempat yang mulia. Setiap kali bersujud, kita mesti minta dengan Allah SWT supaya dapat meninggal dunia di tempat yang baik.

“Kita bukan para Nabi, para Anbia. Kalau diambil nyawa di Tanah Suci, tentu saya rasa bersyukur. Cuma adalah juga saya terfikir, kalau mati dulu, saya belum banyak bakti dan jasa dengan ibu. Saya nak penuhkan hasrat itu dahulu,”katanya.

Maka, apabila berpeluang menikmati juadah kuih donut ibunya sejurus dibenarkan keluar dari hospital di Subang Jaya baru-baru ini, perasaan melankolik mula membuai jiwa hatinya sebagai seorang anak.

“Memang sejak buat Haji bulan lepas saya teringin sangat nak makan kuih. Teringat pada kuih donut ibu saya, walaupun ‘simple’ tetapi sedap.

“Bila dapat makan, terdetik di hati, Allah bagi peluang saya dapat lagi merasa air tangan ibu. Allah beri ruang lagi untuk saya hidup dan dapat menikmati apa yang diinginkan. Perkara itu membuatkan saya jadi sayu hati.

“Sedangkan Allah sudah pertontonkan kepada saya semasa di Tanah Suci, bagaimana mudah dan ramainya orang meninggal dunia. Sedang minum air pun tiba-tiba boleh meninggal dunia. Itu antara hal-hal yang mencetuskan keinsafan dalam diri ini,”ujarnya.

Pada masa yang sama, kata Alyah, dia juga baru menyedari bahawa ternyata sememangnya melakukan ibadah Haji ini merupakan satu perjuangan besar buat umat Islam.

Ini kerana katanya, tidak mudah untuk menyempurnakan rukun Islam kelima itu terutama dalam menyediakan mental dan fizikal pada tahap yang kuat.

“Baru saya tahu yang pergi Haji ini macam satu perjuangan untuk diri kita. Ada yang pergi belim tentu dapat balik. Tak kisah usia, pengorbanan untuk melakukannya juga sangat besar.

“Bukanlah saya nak menampakkan ia benda berat, saya tak tuju pada orang lain tetapi untuk diri sendiri. Bila dah buat ibadah ini, baru kita nampak dan fahami pengertiannya termasuk dari sudut sejarah Islam.

“Tetapi apa pun, saya sangat bersyukur dalat melunaskan ibadah ini meski dalam keadaan tidak begitu sihat. Paling penting, saya rasa seronok dapat melakukannya,”ujarnya.

Gelaran tidak penting

Dalam pada itu, ditanya sama ada selepas ini dia lebih selesa digelar dengan panggilan Hajah, kata Alyah, dia tidak pernah menjadikan ia satu keutamaan dan kemestian.

Ia termasuk ketika dia berkahwin dengan Datuk Ramli MS yang sekali gus menyaksikannya membawa gelaran Datin.

“Ada gelaran Datin pun saya tak pernah suruh orang panggil saya itu. Ramai juga yang lebih selesa dan kekal memanggil saya dengan panggilan Cik Jah sebagaimana yang mereka kenali.

“Gelaran Hajjah itu cuma untuk diri saya sendiri. Saya lakukan ibadah itu pun bukan untuk orang, tetapi diri sendiri. Tak pernah minta orang letak standard, ikut mana yang mereka selesa asalkan bersesuaian.

“Bukan saya tak hargai, tetapi saya tan keterlaluan ke arah itu,”katanya.

Selain itu, ditanya mengenai kerjaya seninya selepas ini, ujar Alyah, dia tetap akan meneruskan kerjaya nyanyian seperti biasa.

Bagaimanapun, sekiranya Allah menetapkan takdir tertentu buat dirinya, jelas Alyah, sebagai hamba-Nya, sudah tentu dia harus akur.

“Saya cuma berdoa, agar Dia rezekikan saya dan dekatkan diri ini denganNya. Tak nak kata tak akan menyanyi lagi. Saya cuma minta Dia berikan rezeki yang membawa saya ke jalan-Nya.

“Paling penting, dapat keizinan suami, restunya, restu ibu dan ibu mentua. Semoga Allah susun yang terbaik untuk saya,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya