Perlis mohon buka semula operasi feri Kuala Perlis-Satun

Perlis mohon buka semula operasi feri Kuala Perlis-Satun

KERATAN laporan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perlis akan membuat permohonan rasmi kepada kerajaan Persekutuan bagi membuka semula operasi di Terminal Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Kuala Perlis dan perkhidmatan feri dari Kuala Perlis ke Satun.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, pihaknya me­nerima permohonan beberapa penduduk setempat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah berhubung pembukaan semula operasi perkhidmatan pengangkutan berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri bersetuju dengan pembukaan se­mula operasi perkhidmatan feri itu yang berupaya membantu meningkatkan ekonomi setempat.

“Berdasarkan pengalaman, pintu masuk Perlis melalui Kuala Perlis-Satun adalah satu suasana yang cukup meriah dengan bot panjang dan lain-lain.

“Untuk ke arah itu, kita akan buat permohonan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini, semalam.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan mengenai cadangan Abu Bakar berhubung pembukaan semula operasi perkhidmatan tersebut yang bakal memberi manfaat besar kepada industri pelancongan di negeri ini.

Abu Bakar dilaporkan berkata, sekiranya perkhidmatan feri dan Perkhidmatan feri Roll On Roll Off (RORO) ke Satun dibuka, sekurang-kurangnya lebih 200 orang keluar dan masuk sehari sekali gus bakal merancakkan ekonomi setempat.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, pembukaan semula operasi perkhidmatan ber­kenaan juga dapat menjimatkan masa pengunjung dari Satun untuk berkunjung ke negeri ini susulan jaraknya kira-kira 30 minit melalui jalan laut.

“Jika melalui jalan darat, mereka mengambil masa lebih satu jam dan pastinya pembukaan semula perkhidmatan feri ini memberi banyak manfaat.

“Malah, langkah ini memudahkan saudara-mara mereka yang menetap di kedua-dua negara jiran ini bertemu,” katanya.

Menurut beliau, pihak Thailand juga tidak mempunyai sebarang halangan berhubung pembukaan semula perkhidmatan operasi tersebut.

“Bulan Ogos nanti saya akan bertemu dengan Gabenor Satun dan kita harapkan pembukaan semula perkhidmatan ini akan tarik kehadiran pelancong khususnya bersempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya