SEPANG: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas melarikan dompet milik orang awam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 9.45 malam pada Jumaat lalu, suspek dikatakan melarikan dompet milik mangsa sebelum sempat dikejar orang awam namun, suspek berjaya meloloskan diri.
Bagaimanapun, suspek berusia 50-an itu akhirnya berjaya diberkas polis empat jam kemudian hasil maklumat yang diberikan mangsa.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata, siasatan awal mendapati, suspek datang ke Malaysia dengan pas lawatan sosial namun, telah melebihi tempoh dibenarkan.
Beliau berkata, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/1963.
“Suspek kini direman selama empat hari bermula semalam hingga Selasa ini bagi membantu siasatan.
“Siasatan lanjut juga akan dilakukan bagi mengenalpasti sama ada suspek turut terlibat dalam jenayah seluk saku dan jenayah lain di KLIA ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pihaknya menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan dengan segera menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Fadzil Zulkifli di talian 011-27132165. – UTUSAN