PADANG BESAR: Pendidikan awal kanak-kanak amat penting dalam memupuk keyakinan diri mereka menerusi pelbagai pendedahan buat golongan berkenaan.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, melalui pendekatan ini, kanak-kanak akan didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang boleh membantu mereka mengenali potensi diri masing-masing.
Titah baginda, pendidikan awal yang berkualiti dapat membantu kanak-kanak memahami asas-asas literasi dengan lebih baik seterusnya membina minat mendalam terhadap ilmu pengetahuan.
“Keyakinan diri yang diperolehi akan menjadi pemangkin untuk mereka menghadapi cabaran dan memupuk semangat kepimpinan diri di masa hadapan,” titah baginda selepas berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyampaian Biasiswa Smart Reader Kids-One Child One Hope (OCOH) Kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis 2024 di Dewan Orkid, Tasoh Lake Resort by Tasoh TasikKu, Kaki Bukit, di sini, baru-baru ini.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Smart Reader Worldwide Sdn Bhd, Datuk Sri Richard Ong, Pengarahnya, Datuk Kevan Ong dan Keefe Ong serta Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Darus.
Majlis tersebut merupakan anjuran Smart Reader Worldwide Sdn Bhd dan mendapat kerjasama YTSP Perlis serta Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.
Pada majlis berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyempurnakan acara perasmian dan mewakili YTSP Perlis untuk menerima persembahan biasiswa ‘Seorang Anak Sebesar Harapan’ bernilai RM 60,000 dari Richard.
Baginda turut berkenan menyempurnakan pengurniaan Smart Reader Kids ‘Book Package’ yang bernilai RM250 setiap seorang kepada 10 orang penerima.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, pendidikan awal kanak-kanak berkualiti mampu membuka ruang dan peluang yang luas kepada golongan berkenaan untuk mendapatkan masa hadapan lebih cerah.
“Kanak-kanak bukan sahaja dapat mempelajari mata pelajaran yang diajar di tadika-tadika, bahkan mampu menarik minat mereka untuk mendekati bidang seperti biologi, fizik dan juga astronomi kelak”, titah baginda.
Sementara itu, Richard menerusi ucapannya berkata, penubuhan program biasiswa itu merupakan inisiatif Smart Reader Worldwide dalam memastikan kanak-kanak di negara ini mendapatkan pendidikan awal sewajarnya.
Katanya, tujuan utama penubuhan program biasiswa itu dapat memberikan peluang pendidikan berkualiti kepada lebih ramai kanak-kanak terutamanya mereka yang berada dalam komuniti kurang berkemampuan.
“Langkah ini menunjukkan komitmen kami dalam memperluaskan akses komuniti kepada pendidikan berkualiti dan memberikan sokongan kepada warga setempat untuk memenuhi impian serta potensi setiap kanak-kanak”, katanya. -UTUSAN