PEMBELIAN rumah dalam pembinaan atau ‘under construction’ (undercon) melalui sistem pembayaran progresif semakin popular dalam era ekonomi yang semakin mencabar, sekali gus menjadi salah satu langkah bijak dalam menguruskan kewangan bakal pembeli rumah itu.
Kaedah pembayaran secara berperingkat mengikut kemajuan pembinaan rumah itu memberikan fleksibiliti kewangan yang diperlukan oleh ramai individu dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pembayaran progresif membolehkan peminjam membayar pinjaman mereka melalui ansuran bulanan secara progresif semasa hartanah sedang dibina.
“Faedah utama kepada pembeli adalah semasa fasa awal ini peminjam dikehendaki membayar hanya faedah ke atas jumlah yang dikeluarkan sehingga projek mencapai pencapaian tertentu, seperti pengeluaran permit.
“Tempoh awal ini amat menguntungkan peminjam kerana ia mengurangkan perbelanjaan kewangan mereka dengan ketara semasa peringkat awal pembinaan.
“Ia memberikan fleksibiliti dan meringankan beban kewangan kepada pembeli yang mungkin masih menanggung perbelanjaan sara hidup tambahan atau membayar pinjaman-pinjaman lain.
“Ini tidak hanya memberikan kelegaan kewangan tetapi juga menggalakkan disiplin dalam pengurusan kewangan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini.
Bagaimanapun, Aimi menekankan supaya pembeli harus berhati-hati dengan risiko yang bakal dihadapi mereka.
“Risiko yang berkaitan dengan pinjaman progresif adalah berkaitan dengan turun naik kadar faedah. Bagi pinjaman dengan kadar terapung, trend menaik dalam kadar faedah boleh meningkatkan kos pinjaman.
“Ini boleh membawa kepada pembayaran balik bulanan yang lebih tinggi atau tempoh pinjaman yang dilanjutkan, yang menjejaskan kesihatan kewangan keseluruhan peminjam.
“Jadi, pembeli perlu diingatkan penting untuk memahami terma dan syarat yang terlibat, walaupun pembayaran progresif mempunyai manfaatnya tersendiri,” katanya.
Sementara itu, pekerja swasta, Muhammad Izzuddin Rosli berkata, penjual (pemaju) dan institusi kewangan perlu memainkan peranan penting dalam memberikan pendedahan mengenai kaedah pembayaran ini agar tiada salah faham di kemudian hari.
“Bila bercakap soal risiko sudah pasti ia menjadi satu topik yang hangat di dalam apa sahaja keputusan kewangan yang dilakukan lebih-lebih lagi, pinjaman bank.
“Ini adalah penting bagi mereka (pemaju dan pihak bank) menerangkan dengan jelas kepada pembeli potensi manfaat dan risiko yang terlibat dalam menggunakan sistem pembayaran ini seperti faedah yang dikenakan sepanjang proses pembinaan secara berperingkat dijalankan.
“Sekiranya pendedahan yang lebih menyeluruh dan proaktif dapat dijalankan, sudah pasti pembeli akan dapat membuat keputusan yang lebih bijak, sekali gus mengurangkan kemungkinan konflik di masa hadapan dengan pendedahan yang tepat.
“Selain itu, saya juga sebagai bakal pembeli akan peka dalam mempersiap kewangan dengan lebih baik bagi mengelakkan sebarang kekeliruan yang boleh timbul akibat kurangnya cakna,” katanya.
Dalam pada itu, pekerja swasta, Mohamad Ikram Hafizi Khirun Nizam berpendapat, sistem pembayaran progresif itu membolehkannya menguruskan perbelanjaan bulanan dengan lebih baik tanpa menerima tekanan yang berlebihan.
“Saya juga boleh lebih bersedia untuk menghadapi sebarang kecemasan kewangan yang mungkin timbul atau masalah terhadap rumah yang sedang dibina.
“Sistem ini turut membantu melindungi saya daripada risiko seperti penipuan atau spekulasi yang mungkin dilakukan oleh pemaju yang tidak bertanggungjawab, yang hanya mementingkan keuntungan semata, terutama kepada golongan muda seperti saya,” katanya.
Tambahnya, dia juga merasa lebih yakin setiap pembayaran yang dilakukan sepadan dengan kemajuan projek dan juga memastikan dana yang dilaburkan digunakan secara cekap tanpa ada penyelewengan.
“Ini kerana rasa selamat harus ada pada bakal pembeli apabila berurusan dengan komitmen kewangan yang penting seperti pembelian hartanah dan aset rumah,” katanya. – UTUSAN