PELAJAR Diploma Vokasional Malaysia (DVM), Kolej Vokasional Pasir Puteh (KVPP) berjaya menghasilkan larutan Effective Microorganisms (EM) bagi membantu menghasilkan silaj untuk makanan ternakan ruminan.
Silaj merupakan rumput yang diperam dalam tong selama beberapa hari untuk dijadikan makanan ternakan.
Pelajar Tahun Dua pengajian Industri Ternakan, Fareez Iqwan Mohd. Sabri, 18, dan Nafis Aminudin Mohd. Rosli, 18, bersama pensyarah mereka turut mengharumkan KVPP apabila penyertaan mereka dalam pertandingan inovasi dan reka bentuk peringkat antarabangsa 2024 berjaya memenangi pingat emas.
Berkongsi kejayaan itu, Fareez Iqwan berkata, kemahiran menghasilkan silaj yang pada awalnya untuk makanan alternatif lembu dan kambing di kandang ternak KVPP dibimbing pensyarah mereka, Muhamad Najib Ahmad dan Siti Noraninda sejak tahun satu lagi.
“Setiap aktiviti dan cara pembikinan silaj didokumentasikan dalam rakaman video bagi menyertai pertandingan dalam talian anjuran Kementerian Pendidikan kelolaan KV Tanah Merah, Kelantan dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara cawangan Kelantan dan Syarikat Digit360 Sdn. Bhd.
“Hasil usaha kami menjuarai pertandingan yang dilangsungkan pada 21 April lalu menyuntik semangat untuk terus menghasilkan silaj gred A yang diakui berkualiti tinggi,” katanya ketika
ditemui Utusan Pelajar di KVPP, baru-baru ini.
Menurut Fareez Iqwan, tiga versi penghasilan silaj adalah menggunakan tong cat bersaiz kecil, tong drum besar (bahan terpakai) dan mesin automatik untuk membukus silaj.
Katanya, sisa buangan tebu (Mollases) EM yang dihasilkan sendiri, rumput dan sisa bahan hijau adalah bahan utama.
“Sediakan rumput yang telah diracip halus sekitar tujuh sentimeter (sm) secukupnya untuk dicampurkan dengan larutan EM bercampur Mollases dengan nisbah 1:3. “Bagi silaj dalam tong kecil
50 mililiter (ml) EM bersama 150ml Mollases diperlukan.
Bagi isian tong drum pula membabitkan 200ml EM nisbah 600ml Mollases,” katanya.
Fareez Iqwan memberitahu, rumput atau sisa bahan hijau dimasukkan hingga tiga suku penuh bekas atau tong penyimpanan dengan padat sebelum bancuhan larutan EM dan Mollases disiram atas permukaan rumput dalam tong penyimpanan.
Katanya, tong mesti ditutup dalam konteks kedap udara sehingga tujuh hari bagi menghasilkan silaj yang berwarna keperangan dan berbau masam manis yang sememangnya digemari
ternakan.
Rakannya, Na z Aminudin berkata, kos pembuatan silaj rumput Napier untuk 100 kilogram (kg) hanyalah RM30, RM22 bagi EM dan Mollases dengan jumlah RM52 lebih murah berbanding harga dedak palet komersial yang mahal harganya.
“Bukan setakat murah, silaj keluaran KVPP kaya dengan pribiotik baik, tinggi serat dan protein mencukupi bagi meningkatkan kesuburan ternakan selain mampu nyah
bau najis dan menghalang pembiakan lalat dikandang,” katanya.
Nafiz Aminudin berkata, kemahiran menghasilkan silaj perlu dimiliki sebelum terjun ke dunia penternakan komersial tanpa kebergantungan kepada sumber dedak palet yang berasaskan bahan import.
Sehingga kini, katanya, hasilan silaj turut mendapat permintaan yang tinggi selain KVPP turut menjadi sumber rujukan penduduk sekitar yang menternak lembu, kambing dan rusa.
Sementara itu, Muhamad Najib berkata, kemahiran menghasilkan silaj yang diajar kepada pelajar merupakan asas penting penyediaan diet kepada ternakan.
Katanya, pendidikan secara teori dan amali dan paling utama adalah kaedah untuk menghasilkan EM yang merupakan bahan utama dalam menghasilkan silaj.
“Rumput hijau yang dijadikan silaj bukan setakat rumput yang diternak di padang ragut malah mengguna pakai rumput yang dipotong di padang bola KVPP.
“Silaj yang siap dihasilkan itu dimampatkan dan dibungkus kedap yang tahan lebih satu tahun,” katanya.
Muhamad Najib berkata, penghasilan silaj dari KVPP turut mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan penternak lembu yang tinggal di sekitar kolej berkenaan. – UTUSAN