Beberapa murid perempuan Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Belah, Klang menyedari bahawa pentingnya menjaga alat sulit mereka pada usia muda.
Salah seorang murid, Siti Nur Atikah Iman, 12, berkata, sebelum menghadiri program Vitality Voyage anjuran pelajar semester dua Sarjana Muda Komunikasi Antarapersonal Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, dia tidak melihat alat sulit penting kerana menganggap ianya sentiasa bersih.
“Tidak ada sesiapa yang ceritakan kepada saya mengenai hal ini. Mungkin sebab umur saya yang masih kecil, jadi orang tidak lihat tiada keperluan untuk kongsikan maklumat ini dengan saya.
“Selepas mendengar ceramah ini, saya akan memastikan bahagian itu sentiasa dalam keadaan bersih,” katanya ketika ditemui.
Bagi Noraishah Sofia Luqmanul Hakim, 12, dia sudah mengetahui bagaimana untuk menghadapi situasi sekiranya mengalami datang haid secara tiba-tiba, justeru akan mengikut segala pembelajaran dalam program tersebut.
“Selain itu, baru saya tahu bahawa tidak ada keperluan untuk membasuh tuala wanita sekiranya darah haid mengalir ke atasnya.
“Saya harap program kesedaran seperti ini dapat diteruskan di sekolah lain supaya murid perempuan dapat mempelajari mengenai kepentingan penjagaan alat sulit mereka,” ujarnya.
Ketua projek program Vitality Voyage, Nur Fatin Najla So’ap, 21, berkata, program tersebut dianjurkan bagi memberikan kesedaran kepada murid perempuan mengenai kebersihan alat sulit wanita.
Menurutnya, seramai 50 murid perempuan sekolah tersebut yang mengambil bahagian dalam program yang berlangsung selama empat jam itu.- UTUSAN