Pejuang awal reformasi sertai gerakan Himpunan Rakyat Lawan Anwar

Pejuang awal reformasi sertai gerakan Himpunan Rakyat Lawan Anwar

CHEGUBARD dan Tun Faisal Ismail Aziz hadir di IPD Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penganjur ‘Himpunan Rakyat Lawan Anwar’ kini sedang merangka gerakan rakyat seterusnya dan kali ini ia akan disertai pejuang-pejuang awal reformasi.

Mengesahkan perkara itu, aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard berkata, satu mesyuarat akan diadakan malam ini melibatkan penyertaan pejuang-pejuang reformasi berkenaan.

Tanpa menyatakan lokasi mesyuarat itu, Chegubard berkata, mesyuarat malam ini bertujuan merangka gerakan-gerakan rakyat seterusnya di bawah nama Himpunan Rakyat Lawan Anwar.

“Malam ni kita akan adakan perjumpaaan dengan pejuang-pejuang reformasi yang pernah bersama Anwar (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) suatu ketika dahulu.

“Kita akan buat pengumuman dimana beberapa program akan dilaksanakan dan gerakan rakyat akan dibuat. Sepatutnya Anwar tiada masalah sebab kerja dia dulu pun berhimpun sahaja,” katanya ketika ditemui di luar perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, hari ini.

Chegubard bersama Ahli Jawatankuasa Badan Pimpinan Negeri, Bersatu Wilayah Persekutuan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz hadir ke IPD Putrajaya hari ini bagi memberi keterangan berhubung penganjuran Himpunan Rakyat Lawan Anwar baru-baru ini.

Katanya, beliau boleh sahkan bahawa Anwar sudah hilang legitimasi sebagai reformis yang menggunakan perkataan reformasi dan pihaknya akan ambil alih istilah tersebut.

Chegubard berkata, sama seperti edisi sulung himpunan pada 29 Jun lalu, gerakan seterusnya juga akan mengetengahkan kepayahan dan penderitaan rakyat.

Sementara itu, Tun Faisal berkata, beliau dan Chegubard telah memberi kerjasama penuh kepada polis terhadap soal siasat berhubung himpunan itu.

“Kami ingin jelaskan bahawa ianya adalah perhimpunan aman dan kami tidak mengganggu gugat polis serta ketenteraman aman,” katanya.

Dalam pada itu, Tun Faisal berkata, kejayaan Perikatan Nasional (PN) mempertahankan kerusi Sungai Bakap baru-baru ini jelas menunjukkan memang negara ada masalah khususnya dari aspek kepimpinan negara.

Katanya, rakyat juga telah memberi isyarat keras bahawa negara ini perlu ada perubahan kerana rakyat hari ini rasa sangat teruk dan semakin susah berbanding di bawah pentadbiran PN dan kerajaan sebelum ini.

Sebelum ini, 11 individu dipanggil polis pada 1 Julai lalu bagi memberi keterangan berhubung himpunan berkenaan termasuk penganjur Himpunan Rakyat Lawan Anwar yang juga Ketua Penggerak Demi Negara, Aidil Yunus atau dikenali sebagai YB Viral. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya