Pasport Malaysia dipastikan kekal antara pasport paling berkuasa di dunia

Pasport Malaysia dipastikan kekal antara pasport paling berkuasa di dunia

SAIFUDDIN Nasution Ismail memeriksa kawalan kehormatan Anggota JIM pada Sambutan Hari Imigresen 2024 di Dataran Pahlawan, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan sentiasa menambah baik ciri-ciri keselamatan pada Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) supaya ia terus kekal pada kedudukan antara pasport paling berkuasa di dunia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri m Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika ini, PMA menduduki tempat ke-11 paling berkuasa di dunia menerusi Ranking Global Pasport Power Rank 2024 yang dikeluarkan oleh passportindex.org.

Beliau berkata, pihaknya menerusi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga akan memastikan kedudukan itu dikekalkan dan seterusnya ditingkatkan pada masa akan datang.

“Proses pengeluaran pasport dalam tempoh 60 minit itu pun sudah melonjakkan negara pada kedudukan ke-11 paling berkuasa di dunia. Malah, kepantasan itu sendiri sudah meletakkan negara pada tahap tersendiri.

“Bagi mengekalkan dan seterusnya meningkatkan kedudukan itu, kita akan umumkan beberapa penambahbaikan termasuk pengeluaran pasport untuk tempoh sah selama 10 tahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perbarisan Hari Imigresen 2024 di Dataran Pahlawan Negara, di sini hari ini.

Katanya, selain ciri-ciri keselamatan pada PMA, beliau menjelaskan ukuran pasport paling berkuasa itu turut ditentukan berapa jumlah negara yang memberi pelepasan visa kepada pemegang PMA.

Saifuddin berkata, lagi banyak negara membenarkan pemegang PMA masuk ke negara mereka tanpa visa, maka bertambah kuasalah PMA.

Menurutnya, pihaknya juga akan menambah baik mesin pengeluar pasport sedia ada bagi membolehkan ia mengeluarkan passport lebih banyak berbanding sebelum ini.

“Ketika ini, mesin pencetak pasport di pejabat pengeluar pasport JIM mampu mengeluarkan sekitar 400 hingga 450 pasport sehari. Justeru, kami akan kenal pasti keupayaan mesin pencetak supaya ia lebih pantas,” katanya.

Ditanya bila pelaksanaan PMA dengan sah laku 10 tahun itu, Saifuddin berkata, pihaknya sedang memperhalusi pelaksanaannya dan ia kini di fasa akhir serta akan diumumkan dalam masa terdekat.

Tahun lalu, JIM mengeluarkan 3.06 juta PMA malah, setakat 15 Julai lalu sebanyak 1.45 juta PMA sudah dikeluarkan.

Selain itu, pergerakan keluar masuk warga Malaysia (termasuk penduduk tetap) sepanjang tahun lalu adalah 139.8 juta malah, setakat hari ini adalah 65.5 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya