Pasangan pempengaruh direman 4 hari, disyaki kes seleweng wang derma

Pasangan pempengaruh direman 4 hari, disyaki kes seleweng wang derma

PASANGAN suami isteri pempengaruh atau influencer direman selama empat hari di Mahkamah Majistret Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Pasangan suami isteri pempengaruh atau influencer direman selama empat hari di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan berhubung kesalahan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan.

Turut direman ialah dua lagi lelaki yang disyaki terbabit dalam kes sama.

Perintah reman itu bermula hari ini sehingga Ahad dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan pasangan itu masing-masing berusia 30 dan 26 tahun.

Terdahulu, pasangan suami isteri itu tiba di Mahkamah Majistret, di sini kira-kira pukul 9.15 pagi yang dibawa menggunakan kenderaan pihak SPRM bagi permohonan reman dengan tangan bergari.

Semalam, pasangan berkenaan ditahan kira-kira pukul 6.40 petang ketika hadir merakam percakapan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Kata sumber itu, SPRM turut dipercayai merampas komputer riba dan telefon bimbit pasangan berkenaan selepas menggeledah rumah pasangan berkenaan petang semalam.

Tular di media sosial mengenai pempengaruh atau influencer yang dikatakan mengambil komisen daripada kutipan derma orang ramai dengan peratusan yang tinggi.

Apatah lagi dia dan pasangannya dilihat hidup dalam kemewahan yang luar biasa hingga menimbulkan pelbagai tanda tanya daripada warga siber.

Malah, pempengaruh tersebut didakwa tidak membuat audit terhadap kutipan orang ramai itu dan dikatakan juga tidak menunjukkan gambar atau bukti kutipan tersebut diserahkan kepada penerimanya.

Sementara itu, peguam Abd Rahim Ali yang mewakili pasangan suami isteri pempengaruh itu menafikan penahanan reman anak guamnya hari ini adalah, berhubung penyelewengan kutipan derma.

Sebaliknya, kata beliau, mereka ditahan atas kesalahan salah guna kuasa mengikut Seksyen 23 (1) akta itu.

“Oleh itu, kami membuat bantahan, sebab tak kena dengan Seksyen yang dipohon oleh SPRM, hakikatnya mereka bukan seorang penjawat awam,” kata peguam itu.

Pasangan itu dan dua lagi lelaki kemudian keluar dari mahkamah pada pukul 12.45 tengahari.

Terdahulu suspek lelaki memaklumkan dia dalam keadaan sihat semasa dibawa anggota SPRM untuk ke tandas.

“Alhamdulillah, saya dalam keadaan sihat, mohon doa yang baik-baik,” katanya ketika disapa pihak media mengenai keadaannya terkini.– UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya